'Tiada masalah beraksi di stadium kosong'

Para pemain negara (jersi kuning) fokus untuk memberikan aksi terbaik Piala Asia B-17 di Bogor, Indonesia. Foto Facebook FAM.
Para pemain negara (jersi kuning) fokus untuk memberikan aksi terbaik Piala Asia B-17 di Bogor, Indonesia. Foto Facebook FAM.
A
A
A

BERMAIN dalam suasana stadium 'sepi' tanpa sorakan peminat pada baki perlawanan kelayakan Piala Asia B-17 2023 bukan menjadi masalah buat pasukan Bawah 16 tahun (B-16) negara.

Ia susulan fokus jurulatih skuad remaja negara, Osmera Omaro lebih kepada corak dan strategi permainan selepas kejayaan Malaysia membelasah Palestin 4-0 Sabtu lalu.

Menurut Osmera, tumpuan ketika ini terarah kepada para pemain negara di atas kemampuan mereka melakar kejutan menewaskan pasukan dari Timur Tengah itu.

“Kejayaan menewaskan Palestin membuka mata pasukan gergasi lain untuk lebih berwaspada apabila bertemu dengan Malaysia.

“Sebelum ini, kita tidak dipandang kerana dianggap sebagai pasukan underdog, namun selepas ini perlawanan akan menjadi lebih sukar kerana mereka pastinya menurunkan pemain terbaik.

“Apa yang perlu dilakukan dalam tempoh dua hari ini adalah memperbaiki setiap kelemahan dan tampil lebih meyakinkan pada perlawanan seterusnya,” katanya.

Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengumumkan aksi Kelayakan Piala Asia B-17 2023 di Bogor akan berlangsung tanpa sebarang kehadiran penonton.

Perkembangan tersebut dimaklumkan PSSI menerusi satu kenyataan pada Isnin susulan menghormati tragedi rusuhan di Stadium Kanjuruhan, Malang.

Artikel Berkaitan:

Pasukan muda negara akan menentang Guam pada Rabu disusuli Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jumaat dan menutup tirai kejohanan menentang tuan rumah, Indonesia pada Ahad.

Hanya 10 juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan mengisi slot ke Piala Asia B-17 yang akan berlangsung tahun depan.