Agihan kerusi PH Terengganu selesai

Raja Kamarul Bahrin
Raja Kamarul Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Pakatan Harapan (PH) Terengganu sudah pun selesai pembahagian kerusi dan pemilihan calon yang mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, senarai nama calon dan kerusi yang akan ditandingi mereka telah dihantar kepada PH Pusat pada minggu lalu untuk dinilai serta diluluskan kepimpinan parti.

Tanpa menyebut jumlah kerusi yang akan ditandingi Parti Amanah Negara (Amanah), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP, beliau berkata, perkara tersebut akan diumumkan selepas senarai berkenaan mendapat kelulusan daripada pusat.

“Kita tunggu keputusan pusat dulu dan melalui senarai dihantar, 65 peratus calon yang akan ditampilkan nanti merupakan muka baharu serta orang muda yang mampu menarik minat pengundi,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Menurut beliau, selepas menyelesaikan soal kerusi dan calon, fokus PH Terengganu kini adalah meraih sokongan rakyat dan antara usaha itu adalah melalui program jelajah nasional PH ke negeri ini.

Raja Kamarul Bahrin berkata, beberapa pemimpin utama dari Amanah, PKR dan DAP dijangka turun ke Terengganu bagi menjayakan program tersebut pada pertengahan bulan nanti sekali gus mendekati pengundi.

“Kita percaya boleh buat kejutan kali ini kerana pada PRU lalu, ada lapan kerusi yang dimenangi Pas dan UMNO dengan majoriti di bawah 1,000 undi sahaja, jadi kita akan main peranan penting,” katanya.

PH Terengganu sebelum ini mengumumkan untuk bertanding di kesemua lapan kerusi Parlimen dan 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terdapat di negeri ini pada PRU15.

Artikel Berkaitan:

Raja Kamarul Bahrin yang juga merupakan Pengerusi Amanah Terengganu dilaporkan berkata, keputusan meletakkan calon di semua kerusi itu dicapai dalam mesyuarat khas parti itu pada akhir bulan lalu.