Tabung Haji kini di landasan tepat: Fuziah

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Tabung Haji (TH) kini berada di landasan yang tepat berikutan diterajui oleh barisan Lembaga Pengarah serta pasukan pengurusan baharu yang benar-benar memahami Akta TH.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Fuziah Salleh berkata, TH juga tidak mengalami masalah pengeluaran besar-besaran oleh pendepositnya sejak Disember tahun lepas.

“Saya yakin TH kini di bawah satu pasukan (pengurusan) yang berkebolehan, berintegriti tinggi serta menyedari mengenai kepentingan amalan kewangan Islam yang terbaik.

“Tempoh sukar TH kini telah berakhir. Masalah itu sebenarnya bermula pada 2017 namun orang ramai tidak bimbang mengenainya kerana menerima hibah yang tinggi.

“(Kini) walaupun mendapat hibah yang lebih rendah pada 2018, mereka perlu sedar bahawa semuanya sudah kembali kepada aspek patuh Syariah," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucap tama pada acara sehari Persidangan Pengurusan Kekayaan dan Perancangan Kewangan Antarabangsa Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC) di sini, hari ini.

Fuziah turut menegaskan bahawa subsidi haji itu akan hanya diberikan kepada bakal jemaah kali pertama.

“Kuota haji pada masa kini adalah seramai 30,200 individu dan kita tidak lagi akan memberi kuota khas kepada menteri-menteri atau mereka yang mempunyai kaitan atau 'hubungan baik' (dengan pihak tertentu). Sebaliknya, golongan yang menjadi keutamaan adalah mereka yang benar-benar layak serta kalangan warga emas yang merupakan bakal jemaah haji untuk kali pertama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jumaat lepas, TH mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus bagi tahun kewangan 2018 yang melibatkan agihan berjumlah RM913 juta kepada 9.3 juta pendepositnya.

Mengulas selanjutnya, Fuziah berkata apa yang penting adalah orang ramai benar-benar dapat memahami dan sedia maklum mengenai objektif sebenar TH diwujudkan.

TH juga, katanya, tidak menetapkan sebarang had simpanan pendeposit.

Terdahulu ketika berucap, Fuziah berkata kementeriannya telah mencadangkan tiga teras tadbir urus baik bagi memastikan kemampanan dan meneruskan kemajuan dalam kepesatan perubahan persekitaran semasa.

Teras pertama, katanya, membabitkan penubuhan Model Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi dan kewangan Islam.

"Model itu akan menjadi penanda aras bagaimana kita dapat menyertakan prinsip-prinsip Islam dalam pentadbiran dengan mengambil kira budaya tempatan serta masyarakat yang berbilang agama dan bangsa.

“Seiring usaha itu, teras kedua menyentuh penerapan Maqasid Shariah iaitu pendekatan Islam yang praktikal dan dilaksanakan dalam pendekatan pentadbiran semasa.

"Teras ketiga adalah Rahmatan Lil Alamin (Rahmat Kepada Sekian Alam),” kata Fuziah. - Bernama