Curi dompet wanita, penghantar barang didenda

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PETALING JAYA - Padah mencuri dompet seorang wanita yang berisi wang tunai RM300, seorang penghantar barang didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.

Majistret, Nor Ariffin Hisham menjatuhkan hukuman itu terhadap Imran Ismail selepas lelaki tersebut mengaku bersalah.

Mahkamah turut memerintahkan Imran, 27, menjalani hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan Imran mengaku bersalah mencuri dompet, kad bank serta wang tunai milik Nur Fazlina Mashadi.

Kesalahan itu dilakukannya di parkir motosikal, Taman Jaya dekat sini, antara jam 7.30 dan 8.30 pagi pada 3 April lalu.

Pendakwaan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, pengadu telah meletakkan dompetnya di bawah tempat duduk motosikal pada hari kejadian.

Namun, ia didapati hilang ketika pengadu hendak mengambil semula dompet itu.

Artikel Berkaitan:

Pada hari sama, sepasukan polis membuat tangkapan dalam sebuah operasi di Taman Bandaran dan mendapati dompet pengadu ada pada Imran.

Hasil siasatan, ia bersabit dengan laporan polis yang dibuat pengadu.

Terdahulu, peguam Datuk Suraj Singh merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan.

"Tertuduh telah direman selama empat hari dan ia sedikit sebanyak telah memberi pengajaran kepadanya," katanya.