Bajet 2023: Maritim Malaysia mahu bilangan aset, anggota ditambah

Maritim Malaysia mahu bilangan aset dan anggota sedia ada ditambah menerusi pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini. - Foto fail Bernama
Maritim Malaysia mahu bilangan aset dan anggota sedia ada ditambah menerusi pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini. - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seiring dengan hasrat untuk mengoptimumkan operasi di samudera negara, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mahu bilangan aset dan anggota sedia ada ditambah menerusi pembentangan Bajet 2023 pada 7 Oktober ini.

Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, Maritim Malaysia memerlukan aset yang sesuai dan mampu bertahan lama di laut agar rondaan serta penguatkuasaan di persempadanan lebih efektif.

Beliau berkata, Maritim Malaysia berhadapan dengan cabaran dalam melaksanakan operasi apabila terdapat aset yang telah dimamah usia dan tidak mampu bertahan dalam tempoh lama ketika operasi di laut.

"Terdapat juga kapal yang menjalani rutin penyelenggaraan dan baik pulih yang menjangkau sehingga setahun dan lebih berikutan alat ganti terpaksa dibuat baharu secara tempahan khas serta alat gantinya pula tiada di pasaran,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, kapal yang tidak mengikut rutin penyelenggaraan dan diselenggarakan dengan baik bukan sahaja menyebabkan kerosakan lebih besar malah mengundang bahaya kepada keselamatan pegawai dan anggota.

Mohd Zubil berkata, Maritim Malaysia kini mempunyai 70 kapal dan 193 bot dengan sebahagian besar daripada aset tersebut berada dalam fasa penyelengaraan serta memerlukan tempoh baik pulih yang lama.

"Peruntukan pada tahun lepas dan sebelumnya agak terbatas, namun agensi terpaksa akur dengan membaik pulih kapal secara berpilih manakala selenggaraan berjadual pula ditangguhkan kerana ia memerlukan perbelanjaan yang tinggi...ini menjejaskan kerja penyelenggaraan kapal,” katanya.

Bagaimanapun Mohd Zubil berkata, meskipun berdepan dengan cabaran tersebut, penguatkuasaan dan pemantauan ketat sempadan perairan negara sepanjang pandemik Covid-19, berupaya menurunkan jumlah kes pencerobohan daripada 241 kes pada tahun lepas kepada 130 kes setakat September tahun ini.

Artikel Berkaitan:

"Dalam usaha mengekalkan prestasi seperti itu, kesiapsiagaan aset dan sumber manusia Maritim Malaysia perlu berada pada tahap terbaik agar pengoperasian agensi ini dapat berjalan dengan lancar dan berkesan,” katanya.

Mohd Zubil berkata, langkah itu juga bagi memelihara keselamatan dan keamanan perairan negara daripada sebarang ancaman jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan pendatang asing, dadah dan pencerobohan bot nelayan asing yang mencuri hasil laut negara. - Bernama