Fasiliti bertambah, kesihatan pula merosot

Malaysia adalah antara negara dengan kadar tertinggi dari segi obesiti dan sakit jantung.
Malaysia adalah antara negara dengan kadar tertinggi dari segi obesiti dan sakit jantung.
A
A
A

MALAYSIA adalah antara negara dengan kadar tertinggi dari segi obesiti dan sakit jantung. Penyakit tidak berjangkit itu turut menjadi pembunuh senyap serta punca utama kematian di negara ini.

Pada tahun 2020 sahaja, sebanyak 18,515 kematian atau 17 peratus daripada jumlah kematian di Malaysia adalah disebabkan sakit jantung.

Jabatan Perangkaan Malaysia turut menyebut amalan gaya hidup dan pengambilan makanan yang tidak sihat sebagai antara penyumbang kepada kematian.

Menerusi statistik ini, mampukah penambahbaikan fasiliti kesihatan dan penambahan bilangan hospital membantu meningkatkan tahap kesihatan rakyat?

Ketika ini, negara mempunyai lebih 140 buah hospital kerajaan. Pada masa sama, Malaysia pernah mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam kategori perkhidmatan kesihatan terbaik di dunia.

Selain itu, negara menduduki ranking pertama terbaik dalam kategori Kesihatan Terbaik, Indeks Persaraan Global 2019.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ranking itu secara tidak langsung memberi pengiktirafan kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi di Malaysia.

Berdasarkan pengiktirafan diberikan kepada fasiliti kesihatan negara, pendapat penulis, sudah pasti negara mampu memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik buat rakyatnya.

Sebagai rakyat pula, kita patut bangga dengan pencapaian negara memberi perkhidmatan terbaik dengan kos rawatan yang berpatutan.

Artikel Berkaitan:

Lebih-lebih lagi pelancong negara luar turut menyukai sistem perkhidmatan kesihatan di negara kita berbanding negara mereka sendiri.

Malangnya, sungguhpun fasiliti kesihatan di Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia, namun kesedaran rakyat negara ini untuk menjaga kesihatan belum memuaskan.

Kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini mungkin sukar untuk diterima tetapi sesuatu perlu dilakukan bagi memastikan rakyat mengamalkan budaya hidup sihat.

“Bayangkan di Malaysia seorang daripada dua rakyat adalah obesiti, termasuk diri saya, manakala seorang daripada empat rakyat Malaysia tidak amalkan kecergasan. Selain itu, seorang daripada 20 rakyat tidak mengamalkan pemakanan mengikut nutrisi yang betul.

“Mengikut statistik rasmi juga, setengah juta orang dewasa mengalami kemurungan. Saya percaya angka ini sebenarnya masih rendah daripada realiti,” kata Khairy.

Pada masa sama, Kementerian Kesihatan mendedahkan negara ini dikategorikan sebagai bukan negara sihat memandangkan kadar pesakit jantung dan obesiti yang tinggi.

Bagi memastikan rakyat sihat sejahtera, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) telah dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 11 November 2021.

ANMS yang dilaksanakan dalam empat fasa bermula 2020 hingga 2030 adalah pelan bagi menyiapkan Keluarga Malaysia supaya mempunyai ketahanan atau imuniti badan yang tinggi menerusi pembudayaan hidup sihat, pengambilan vaksin, kawalan kendiri kesihatan dan amalan norma baharu serta amalan kebersihan persekitaran.

Kertas Putih Kesihatan

Sehubungan itu, Perdana Menteri mencadangkan Kertas Putih Kesihatan bagi merealisasikan sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan dan kalis masa hadapan.

Pada masa ini, cabaran kesihatan wajar dijadikan sandaran untuk menambah baik dan memperkukuh sistem kesihatan sedia ada.

Bagi memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat contohnya, Hospital Bera, Pahang mula beroperasi pada 1 Julai lalu manakala Hospital Tanjong Karang, Selangor bakal dibuka pada 10 Oktober nanti dengan status baharu sebagai hospital pakar minor.

Semua ini membuktikan kerajaan telah berusaha memastikan kecukupan tempat dan fasiliti untuk rakyat melalui penyediaan persekitaran kondusif untuk pesakit dan petugas kesihatan.

Penulis berpendapat, walaupun kerajaan melakukan banyak inisiatif bagi membantu kesihatan rakyat, tiada apa yang akan berubah jika tidak diiringi kesedaran orang ramai untuk menjaga kesihatan diri. Silap-silap masalah obesiti dan penyakit jantung akan bertambah parah.

Oleh itu, rakyat Malaysia perlu mengubah sendiri tingkah laku serta meningkatkan kesedaran bagi melahirkan negara dan rakyat yang sihat tanpa mengharapkan kerajaan semata-mata.

Rakyat perlu memanfaatkan segala kemudahan kesihatan yang disediakan oleh kerajaan, jika tidak diri sendiri yang akan rugi.

* Zairani Ibrahim ialah Pencipta Kandungan Sinar Online