Osmera belum puas hati

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Osmera Omaro
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Osmera Omaro
A
A
A

PENGENDALI skuad Bawah 16 tahun (B-16) negara, Osmera Omaro mengakui beliau masih belum berpuas hati dengan persembahan pemainnya meskipun berjaya melakar kemenangan besar ke atas Palestin pada kempen kelayakan Piala Asia B-17 2023.

Menurut Osmera, beliau mengakui banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukan bersama barisan kejurulatihan bagi memperbaiki kelemahan pasukan terutama membabitkan barisan pertahanan.

“Saya puji barisan pemain apabila berjaya menumpaskan Palestin, cuma banyak perkara perlu diperbaiki terutamanya kesalahan yang sering diulangi barisan anak buah.

“Sudah tentu kita akan buat analisis dan cuba perbaiki masalah itu. Ini bukan perkara baru cuma mereka kerap mengulangi kesalahan sama dan ia perlu diperbetulkan segera,” katanya.

Pada aksi sulung Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Pakansari, Bogor, Indonesia, anak buah Osmera Omaro bagaimanapun diberi tentangan sengit pada separuh masa pertama sekali gus menyaksikan skuad negara gagal mendapat jaringan.

Bagaimanapun pada separuh masa kedua, pasukan negara berjaya mempamerkan aksi yang cemerlang sehingga berjaya mendapatkan gol pembukaan pada minit ke-50 menerusi jaringan Anjasmirza Saharudin.

Jaringan itu nyata menambahkan semangat pemain muda negara apabila berjaya menggandakan kedudukan pada minit ke-68 menerusi penyudah Faris Danish Mohd Asrul.

Skuad muda negara itu terus menambah derita pasukan Palestin apabila Arami Wafiy Mohamad Zakimi mengukuhkan lagi kedudukan dengan meledak gol ketiga pada minit ke-74, sebelum Zainurhakimi Zain Azraii melengkapkan kemenangan bergaya skuad negara apabila menyumbang gol keempat ketika perlawanan berbaki tiga minit.

Artikel Berkaitan:

Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia kita mengungguli tangga teratas Kumpulan B dengan mengumpul tiga mata.

Malaysia akan meneruskan saingan kelayakan berdepan Guam pada Rabu ini sebelum menentang Emiriah Arab Bersatu (7 Oktober) dan tuan rumah, Indonesia (9 Oktober).