Stadium baharu lebih moden

Reka bentuk konsep awal KSSA.
Reka bentuk konsep awal KSSA.
A
A
A

KOMPLEKS Sukan Shah Alam (KSSA) yang dijangka melalui proses pembangunan semula bermula awal tahun depan bakal disertai satu stadium moden dilengkapi pelbagai kemudahan.

Malah, venue yang bakal menggantikan Stadium Shah Alam itu bukan sahaja akan tertumpu kepada bola sepak semata-mata, namun turut memberi fokus kepada aktiviti lain.

Pengarah Urusan Kumpulan Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Mohd Imran Mohamad Salim berkata, stadium dengan kapasiti maksimum tempat duduk 40,000 orang itu akan mempunyai tiga jenis padang yang boleh ditukarkan mengikut kesesuaian penggunaannya bagi memastikan ia tidak rosak.

Jelasnya, padang tersebut boleh diganti dalam tempoh 14 jam bagi memastikan kualiti tidak terjejas, selain boleh ditukar kepada permukaan konkrit jika mahu menggunakannya bagi tujuan lain.

“Sistem padang yang boleh ditukarkan mengikut kesesuaian membantu menangani masalah air bertakung yang sering membelenggu sesetengah venue di negara ini.

“Malah, stadium itu nanti akan mempunyai tiga jenis padang yang boleh ditukar mengikut kesesuaian acara, baik padang rumput, padang sintetik mahupun penggunaan lantai konkrit untuk tujuan lain seperti penganjuran konsert,” katanya dalam sesi taklimat pembangunan semula kompleks tersebut di sini pada Jumaat

Jelas Mohd Imran, konsep venue itu kali ini juga menyaksikan tiada lagi trek larian, seterusnya jarak antara penonton dan padang tidak terlalu jauh.

“Stadium mempunyai jarak antara penonton dan padang cukup jauh menyebabkan kita mengubah konsep berkenaan supaya orang ramai yang hadir cukup dekat menyaksikan perlawanan.

Artikel Berkaitan:

“Perubahan yang dilakukan terhadap venue berkenaan juga mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA)," katanya.

Reka bentuk konsep awal bahagian dalam stadium yang dibentangkan ketika Taklimat Perkembangan Pembangunan KSSA pada Jumaat. - Foto Bernama
Reka bentuk konsep awal bahagian dalam stadium yang dibentangkan ketika Taklimat Perkembangan Pembangunan KSSA pada Jumaat. - Foto Bernama

Sementara itu, Mohd Imran berkata, KSSA juga tidak hanya kepada stadium semata-mata kerana kawasan berkeluasan 80 hektar itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan bagi menggalakkan orang ramai untuk melakukan aktiviti beriadah.

Jelasnya, dengan kemudahan yang disediakan itu, ia secara langsung bakal memberikan peluang pihak pengurusan untuk menjana pendapatan yang akan membantu kepada kos penyelenggaraan stadium.

“Antara pembangunan yang dicadangkan untuk kompleks berkenaan meliputi pembinaan hotel, tapak komersial, stadium tertutup dan taman awam.

“Jadi, dengan adanya kemudahan dan pembinaan, ia secara tidak langsung mampu untuk menjana pendapatan bagi penyelenggara stadium,” ujarnya.