Harimau Selatan baham Jang

Tonggak import JDT, Bergson da Silva meledak dua gol bagi membantu kemenangan 5-0 JDT ke atas Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam Sabtu. - Foto FB Johor Southern Tigers.
Tonggak import JDT, Bergson da Silva meledak dua gol bagi membantu kemenangan 5-0 JDT ke atas Negeri Sembilan FC pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam Sabtu. - Foto FB Johor Southern Tigers.
A
A
A

SKUAD Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super apabila menewaskan Negeri Sembilan FC, 5-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam Sabtu.

Perlawanan itu menyaksikan JDT bermula garang apabila dilihat mengasak bertubi-bertubi ke gawang pelawat sebaik wisel permulaan dalam usaha membuka jaringan.

Namun benteng pertahanan pelawat yang beraksi tanpa pemain kebangsaan, Ahmad Khuzaimi Pie dilihat masih mampu mengekang asakan-asakan berkenaan.

Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan itu dilihat berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-11, namun rembatan tonggak import, Bergson da Silva tinggi melepasi palang gol.

Minit ke-17 sekali lagi menyaksikan skuad kendalian Hector Bidoglio itu berpeluang membuka jaringan apabila pemain lincah, Akhyar Rashid berjaya merampas bola daripada kawalan pertahanan Negeri Sembilan FC, namun rembatannya sekadar menggegarkan jaring di tepi gawang.

Beberapa minit selepas itu, JDT sekali lagi dilihat berpeluang menjaringkan gol namun sepakan percuma Leandro Velasquez dari luar kotak penalti berjaya diselamatkan penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi sebelum penjaga gol skuad kebangsaan itu sekali lagi lagi menggagalkan rembatan Velasquez dari luar kotak penalti pada minit ke-29.

Negeri Sembilan akhirnya berjaya menembusi benteng pertahanan JDT pada minit ke-32, namun rembatan bekas pemain kebangsaan, Zaquan Adha Abd Radzak dibatalkan kerana pemain berkenaan didapati berada dalam keadaan ofsaid terlebih dahulu.

Gol yang dinanti ribuan penyokong JDT akhirnya menjelma pada minit ke-35 apabila pemain sayap lincah Ariff Aiman Mohd Hanapi berjaya melepasi kawalan pertahanan pelawat sebelum merembat melepasi jangkauan Ahmad Syihan.

Artikel Berkaitan:

Gol berkenaan nyata menyemarakkan lagi semangat kesebelasan skuad Harimau Selatan itu untuk terus mengasak ke gawang Negeri Sembilan FC dan hasilnya Leandro Velasquez meledak gol kedua apabila memanfaatkan sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit ke-38.

Pada penghujung babak pertama, JDT hampir menambah jaringan, namun rembatan Akhyar Rashid pada minit ke-40 sekadar menggegarkan palang gol manakala rembatan Bergson, gagal menepati sasaran.

Babak kedua menyaksikan JDT semakin menggandakan asakan dan ketika permainan baharu bersambung tiga minit, Arif Aiman berjaya memanfaatkan peluang di depan gawang pelawat bagi merembat leret gol ketiga tuan rumah yang juga gol kedua peribadinya, pada minit ke-48.

Biarpun dilihat selesa mendahului 3-0, namun skuad Harimau Selatan itu dilihat masih terus mengasak hebat ke gawang pelawat bagi menambah jaringan dan hasilnya menyaksikan Bergson meledak gol keempat pada minit ke-61.

Pada penghujung perlawanan menyaksikan Negeri Sembilan FC mula mempamerkan kebangkitan apabila dilihat lebih kerap mengasak ke gawang JDT dalam usaha menjaringkan gol.

Bagaimanapun, segala asakan berkenaan dilihat gagal menepati sasaran selain berjaya dikekang benteng pertahanan JDT.

Malah, sebaliknya kesempatan itu dimanfaatkan jentera serangan JDT untuk mengatur serangan balas ke gawang pelawat dan menyaksikan Bergson meledak gol kelima pada minit ke-89, yang juga gol kedua peribadinya pada perlawanan berkenaan bagi memastikan kemenangan penuh bergaya skuad Harimau Selatan malam tadi.

JDT – Mohd Farizal Marlias (kapten), Matthew Davies, Aifq Fazail, Bergson da Silva, Leandro Velazquez (Safiq Rahim), Shane Lowry, Akhyar Rashid (Ramadhan Saifullah), La’vere Corbin-Ong (Syahmi Safari), Natxo Insa (Shio Hong Wan), Shahrul Saad, Arif Aiman Mohd Hanapi (Mohamadou Sumareh)

Negeri Sembilan FC – Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, Che Rashid Che Halim (A.Namathevan), Khair Muhamamd Jefri Jones, Mohamad Zaquan Adha Abd Radzak (Yashir Pinto Islame), Omid David Nazari, Matheus Alves Leandro, Selvan Anbualagan (Sean Selvaraj), Nasrullah Haniff Johan (kapten), Saiful Ridzuwan Selamat (Mohamad Hariz Kamarudin), Mohamad Zamri Pin Ramli, Muhammad Zulkhairi Zukkeply (Mohamad Izzuddin Mohd Roslan)

Pengadil – Mohd Fusser Md Sallih