Harimau Selatan baham City Boys

Pemain JDT meraikan kemenangan ke atas KL City FC pada Isnin. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
Pemain JDT meraikan kemenangan ke atas KL City FC pada Isnin. - Foto Facebook Johor Southern Tigers
A
A
A

BAGAI diramal, skuad Johor Darul Ta’zim (JDT), meraih tiga mata berharga apabila menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 6-1, pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, sebentar tadi.

Perlawanan yang diibaratkan aksi pra-final Piala FA 2023 itu menyaksikan skuad Harimau Selatan bermula garang dengan mengatur asakan berbahaya ke kubu lawan bagi membuka jaringan.

JDT hampir membuka jaringan pada minit ke-5, namun rembatan penyerang import, Diogo Luis Santo tepat ke penjaga gol, Muhammad Azim Al Amin Kamaruddin.

Diogo bagaimanapun menebus kesilapannya itu dengan menjaringkan gol sulung perlawanan pada minit ke-12.

Tidak sampai seminit, giliran pemain sensasi, Arif Aiman Mohd Hanapi pula meledak gol kedua perlawanan, sekali gus terus menggegarkan stadium.

Perlawanan selepas itu dilihat lebih banyak di dominasi JDT yang semakin bersemangat untuk menambah jaringan.

Minit ke-35, menyaksikan Diogo memanfaatkan peluang di depan gawang pelawat dengan menanduk masuk gol ketiga yang juga gol kedua peribadinya.

Pemain Brazil berusia 36 tahun itu kemudiannya melengkapkan hatrik apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-44.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan dilihat semakin menggandakan asakan bagi menambah jaringan.

Hasil satu serangan balas, KL City FC berjaya merapatkan jurang gol menerusi jaringan T Saravanan pada minit ke-54.

Tersentak dengan jaringan berkenaan, kesebelasan JDT dilihat mula mengatur asakan ke gawang skuad City Boys itu dan menyaksikan deretan peluang gol gagal disempurnakan oleh jentera serangan skuad Harimau Selatan itu.

Pemain gantian, Safiq Rahim menjaringkan gol kelima pada minit ke-86 sebelum seorang lagi pemain gantian, Akhyar Rashid meledak gol keenam pada minit ke-88.

Biarpun selesa memimpin perlawanan, namun JDT masih mengasak hebat ke gawang pelawat, namun tiada sebarang jaringan tambahan dihasilkan hingga ke wisel penamat.