PRU15: Kerjasama UMNO-Pas mampu rampas 20 kerusi PH

Tangkap layar hantaran Dr Mohd Khairuddin di laman Facebooknya.
Tangkap layar hantaran Dr Mohd Khairuddin di laman Facebooknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerjasama Pas dan UMNO dijangka mampu meraih 20 kerusi Parlimen milik Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Perkara tersebut dinyatakan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menerusi hantaran di akaun Facebook beliau.

“Perinciannya ialah enam kerusi Parlimen di Kedah iaitu Merbok, Sungai Petani, Kulim Bandar Baharu, Pokok Sena, Kuala Kedah dan Padang Serai. Empat Parlimen di Pahang iaitu Raub, Temerloh, Bentong dan Kuantan di Pahang.

“Empat kerusi di Selangor iaitu Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kapar dan Kuala Langat. Tiga Parlimen di Perak iaitu Parit Buntar, Lumut dan Tanjung Malim di Perak.

“Begitu juga Tampin di Negeri Sembilan, Tangga Batu di Melaka dan Kangar di Perlis,” katanya.

Jelas beliau, sudah sampai generasi baharu kedua Parti Islam Melayu tersebut bersaing menawarkan polisi pentadbiran dan manifesto terbaik di arena politik secara sihat tanpa serang-menyerang peribadi, gelar-menggelar yang buruk dan tuduh-menuduh yang mencarikkan persaudaraan.

“Inilah yang diajar dan dididik oleh Islam. Tinggalkan politik mengungkit cerita lama mencarikkan persahabatan yang sudah lapuk ditelan zaman," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Khairuddin menzahirkan rasa syukur terhadap Muafakat Nasional yang kembali diperkasakan selepas mengalami ketegangan sementara.

Artikel Berkaitan:

“Tiba-tiba Pas telah menghulurkan tali untuk mengeratkan kembali persahabatan dengan UMNO menerusi kunjungan hormat Presiden Pas menemui Presiden UMNO. UMNO juga telah menyambut usaha terbaharu ini dengan sehangatnya.

“Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga mengeluarkan kenyataan tidak membenarkan siapa pun mengeluarkan kenyataan melainkan dengan izin Presiden demi menjaga hubungan baharu ini agar tidak tercalar lagi,” ulas beliau.