Pemuda PBM tampil lima tawaran termasuk pendidikan percuma

Na'im (depan, tengah) bersama barisan Ahli Jawatankuasa Pemuda PBM pada sidang media selepas persidangan Pergerakan Pemuda PBM di Shah Alam pada Sabtu.
Na'im (depan, tengah) bersama barisan Ahli Jawatankuasa Pemuda PBM pada sidang media selepas persidangan Pergerakan Pemuda PBM di Shah Alam pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pendidikan percuma di peringkat universiti menjadi salah satu daripada lima tawaran Pemuda Parti Bangsa Malaysia (PBM) kepada anak-anak muda di negara ini sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Pemudanya, Na'im Brundage berkata, pihaknya yakin kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pengajian Tinggi mempunyai sumber mencukupi untuk merealisasikan perkara tersebut.

Selain itu, pihaknya juga sedia menawarkan akta gaji sama rata, kuota 30 peratus anak muda di Parlimen, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri (DUN), Akta Anti Demokrasi dan penggunaan ganja untuk perubatan.

"Sudah tiba masanya untuk Malaysia mengikut langkah negara-negara maju yang telah memperkenalkan akta-akta secara terperinci bagi mengelakkan berlakunya sebarang bentuk diskriminasi gaji di tempat kerja sama ada melibatkan kaum, agama, jantina dan kelainan upaya.

"Kita juga akan memperjuangkan kuota 30 peratus anak muda di setiap peringkat negeri, Parlimen dan Dewan Negara bagi memastikan pentadbiran negara mencerminkan lebih ramai demografik pemuda," katanya pada sidang media selepas persidangan Pergerakan Pemuda PBM di sini pada Sabtu.

Ujarnya lagi, penggubalan Akta Anti Diskriminasi diperlukan bagi memastikan diskriminasi dapat dikurangkan dalam setiap aspek kehidupan sekali gus sebuah bangsa Malaysia dapat dibentuk.

Beliau menambah, pihaknya akan memperjuangkan pindaan undang-undang untuk menghalalkan penggunaan ganja bagi tujuan perubatan selepas mendengar rintihan daripada pesakit penyakit kronik.

"Kita yakin dengan lima tawaran ini PBM dapat menarik lebih banyak sokongan daripada pemuda-pemuda negara," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai sokongan Undi 18, beliau berkata, ia merupakan tugas berat untuk parti, namun pihaknya optimis untuk bergerak dengan lancar dan rapi bagi mendapatkan sokongan anak muda.

"Antara inisiatif kita adalah lima tawaran seperti saya sebutkan tadi selain kita sentiasa memperjuangkan isu-isu membabitkan anak-anak muda negara di mana sekarang ini mereka menghadapi pelbagai masalah seperti pengangguran, gaji tidak setimpal, diskriminasi dan sebagainya.

"Oleh itu kita yakin dapat memperjuangkan isu anak muda selain mengangkat suara mereka sekali gus meraih sokongan daripada mereka semasa PRU15 nanti," jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, PBM sentiasa bersedia untuk menghadapi PRU15 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.

"Sebenarnya kita telah mula gerak kerja untuk hadapi pilihan raya sejak tertubuhnya PBM selain telah melantik pengarah pilihan raya dan sudah mempunyai jawatankuasa untuk hadapi PRU15.

"Di peringkat PBM juga kita ingin bantu jadi tulang belakang jentera pilihan raya parti untuk merancakkan penstrukturan pemuda parti sama ada di peringkat negeri dan peringkat bahagian," ujarnya.