Kerajaan perlu teliti isu pencemaran di Pulau Perhentian

Raja Kamarul Bahrin
Raja Kamarul Bahrin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan kerajaan negeri perlu meneliti isu pencemaran yang didakwa berlaku berulang kali di lokasi peranginan di Pulau Perhentian sehingga menjejaskan kesihatan pelancong.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, berdasarkan laporan isu yang didedahkan sebuah portal berita pada Jumaat, keadaan itu dikhuatiri menjejaskan sektor pelancongan khususnya di Terengganu.

"Laporan sama turut menyebut pada Jun 2022, enam pelancong yang mandi-manda di Pulau Perhentian mendakwa telah mengalami keracunan dan jatuh sakit namun dilihat kerajaan Terengganu tidak memberi perhatian yang serius.

"Terbaharu, seorang pelancong memberitahu beberapa orang dari 27 dewasa, tujuh kanak-kanak serta anak kecil mengalami keracunan makanan, cirit-birit serta muntah-muntah selepas bercuti di Pulau Perhentian.

"Berdasarkan laporan itu juga, berapa individu yang mengalami cirit-birit serta demam tinggi terpaksa dimasukkan ke hospital malah ada yang di sahkan mengalami jangkitan typhoid yang berpunca daripada sumber air dan makanan kotor selain ada yang mengalami jangkitan kuman dalam darah, "katanya dalam kenyataan disini, pada Jumaat.

Menurut beliau, insiden berlaku itu dipercayai berpunca daripada sisa air kumbahan yang telah meresap masuk ke air laut serta mencemarkan sistem bekalan air di situ.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri khususnya dibawah portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar serta Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Terengganu perlu menyiasat punca berlakunya insiden itu demi keselamatan pelancong dan warga tempatan.

"Setakat ini kita lihat tiada tindakan atau langkah susulan serius dibuat kerajaan untuk menyiasat kes yang lalu sehingga berlaku lagi insiden lebih serius kali ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita khutir sekiranya isu ini berlarutan, ia akan menjejaskan sektor pelancongan yang menjadi sumber pendapatan utama Terengganu dan negara," jelas beliau.