Tangani masalah sosial secara bersama

Mohammad Shatar bercakap ketika Program Disebalik Isu Bersama FY bertajuk 'Jual Maruah Kini Trending Di Alam & 'Darkside'?' pada Jumaat.
Mohammad Shatar bercakap ketika Program Disebalik Isu Bersama FY bertajuk 'Jual Maruah Kini Trending Di Alam & 'Darkside'?' pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Tugas dalam menyelesaikan sesuatu permasalahan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, namun perlu melibatkan semua pihak, kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Beliau berkata, masyarakat perlu faham bahawa setiap masalah yang berlaku pada hari ini tidak boleh meletakkan kesalahan itu pada satu elemen atau satu badan sahaja.

Bagaimanapun beliau menjelaskan, sekurang-kurangnya empat komponen perlu bertanggungjawab dan bekerjasama dalam menangani gejala sosial melibatkan golongan muda.

"Yang pertama adalah individu itu sendiri, kedua; keluarga, yang ketiga; masyarakat dan keempat pula kerajaan.

"Dalam konteks kita pada hari ini, ada sebut bahawa pihak kerajaan telahpun melaksanakan pelbagai tindakan yang sewajarnya dengan melaksanakan undang-undang, 'task force' dan sebagainya.

"Tetapi percayalah kalau kita hanya meletakkan beban penyelesaian kepada kerajaan maka apa-apa masalah pun tidak akan capai penyelesaian. Jadi kita kena lihat kepada elemen yang pertama (individu), kedua (keluarga) dan ketiga (masyarakat)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Program Disebalik Isu Bersama FY yang dikendalikan oleh Finaz Yunus disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Program yang membincangkan topik bertajuk 'Jual Maruah Kini Trending Di Alam 'Darkside'?' itu turut menampilkan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dan Naufal Nazri sebagai speaker 'Darkside'.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata, manusia dikatakan terlibat dalam masalah sosial kerana mereka kurang didedahkan dengan nilai dan norma yang baik semasa zaman kecil dahulu.

"Cuba lihat contoh seperti masyarakat Jepun, bagaimana mereka ini boleh jaga kebersihan kerana di peringkat awal sudah didik dengan menjaga kebersihan dan apabila sudah dewasa menyebabkan mereka telah biasa dengan amalan seperti itu.

"Dalam konteks ini, nilai-nilai norma perlu dipupuk sejak kecil namun malangnya pada hari ini disebabkan kesibukan menyebabkan ada ibu bapa terlepas pandang sehingga menyebabkan anak-anak itu kurang mendapat perhatian dan didikan," katanya.

Jelas beliau, masyarakat pada masa sama tidak boleh lagi menggunakan kaedah atau pendekatan tidak mahu menjaga tepi kain orang.

"Apabila melihat perkara tidak elok maka masyarakat kena ambil tindakan dan perlu ambil peduli untuk tujuan kebaikan.

"Selain itu, pihak kerajaan telah melaksanakan dasar dan perkara sebaik mungkin. Menerusi sokongan masyarakat dan ibu bapa, saya yakin masalah ini dapat diselesaikan tetapi perlu sama-sama berganding bahu menyelesaikan isu gejala sosial khususnya masalah 'dark side' ini," katanya.