Mesyuarat Top 5 UMNO sedang berlangsung

Lima pemimpin tertinggi UMNO (dari kiri) Mahdzir, Ahmad Zahid, Ismail Sabri, Mohamad dan Mohamed Khaled sedang bermesyuarat. - Foto FB Mohamed Khaled Nordin
Lima pemimpin tertinggi UMNO (dari kiri) Mahdzir, Ahmad Zahid, Ismail Sabri, Mohamad dan Mohamed Khaled sedang bermesyuarat. - Foto FB Mohamed Khaled Nordin
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO melibatkan perbincangan antara lima pimpinan tertinggi parti itu dimaklumkan sedang berlangsung ketika ini.

Perkongsian itu dimaklumkan oleh Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menerusi Facebook beliau.

Lima pemimpin tertinggi UMNO itu merujuk kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Mohamed Khaled dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Bagaimanapun, perkongsian tersebut masih tidak mendedahkan apa-apa intipati yang dibincangkan dalam mesyuarat itu.

Perbincangan 'top five' UMNO itu dipercayai menyentuh mengenai tarikh pelaksanaan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pada 19 September, media melaporkan Ismail Sabri akan mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi UMNO bagi membincangkan tarikh PRU15 sebelum pembentangan Bajet 2023 yang dijadualkan pada 7 Oktober ini.

Sebelum itu, pada 16 September lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan bahawa Mesyuarat MKT UMNO yang dijadualkan berlangsung pada 17 September ditangguhkan ke 30 September.

Ujar Ahmad Maslan, penangguhan itu berikutan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden parti terlibat dengan Majlis Perasmian Sukan Malaysia (Sukma) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Bangi pada malam berkenaan.

Artikel Berkaitan: