[VIDEO] Projek SMK Kota Warisan bukan gula-gula politik

Mohd Radzi membuat tinjauan di tapak projek SMK Kota Warisan, dekat sini pada Jumaat. Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
Mohd Radzi membuat tinjauan di tapak projek SMK Kota Warisan, dekat sini pada Jumaat. Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
A
A
A

SEPANG - [DIKEMAS KINI] Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin menolak dakwaan projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Warisan merupakan gula-gula Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelasnya, sekolah yang dijangka siap pada tahun 2025 dan bakal menempatkan sekitar 1,300 pelajar itu merupakan suatu keperluan penduduk setempat.

"Tidak ada kaitan dengan PRU15. Ia dibina dengan rasa tanggungjawab bahawa kawasan berkepadatan tinggi ini perlu diselesaikan segera demi kemudahan anak-anak," katanya.

Menurutnya, rekod pencapaian sejak beliau dilantik sebagai Menteri Pendidikan membuktikan isu berkaitan dengan keperluan murid berjaya diselesaikan.

"Kalau saudara tahu, sekolah di Bandar Saujana Putra yang terbengkalai berjaya diselesaikan apabila saya masuk ke kementerian.

Begitu juga di Klang dan Shah Alam," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di tapak projek SMK Kota Warisan dekat sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian menjawab isu pembinaan SMK Kota Warisan sebagai gula-gula politik.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Artikel Berkaitan:

Mohd Radzi berkata, pembinaan SMK Kota Warisan itu mampu meringankan beban penduduk yang terpaksa mengharungi perjalanan sejauh lapan kilometer (KM) ke sekolah terdekat di SMK Dengkil.

"Selain SMK Dengkil, SMK Seri Sepang (10KM) dan SMK Bandar Baru Salah Tinggi (13KM) menjadi pilihan penduduk di sekitar kawasan ini," katanya.

Menurut Mohd Radzi, SMK Kota Warisan itu turut menawarkan tempat untuk pelajar pendidikan khas di mana terdapat satu kompleks bangunan yang turut dibina.

"Kemudahan ini adalah amat penting dan diberi keutamaan bagi memudahkan ibu bapa," katanya.

Beliau berkata, pembinaan akan dimulakan sejurus Surat Setuju Terima (SST) diselesaikan pada Disember ini.