Skuad Projek FAM-MSN tetap beraksi Liga Simpanan 2023

Skuad Projek FAM-MSN ketika ini menghuni tangga tercorot Liga Premier. Foto FB FAM.
Skuad Projek FAM-MSN ketika ini menghuni tangga tercorot Liga Premier. Foto FB FAM.
A
A
A

SKUAD Projek FAM-MSN akan tetap beraksi pada Liga Simpanan biarpun menampilkan prestasi kurang memuaskan dalam saingan Liga Premier 2022.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, kesinambungan pasukan tersebut perlu diteruskan bagi memberi peluang kedua kepada pemain membuktikan kebolehan memandangkan mereka adalah produk dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) di bawah Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP).

Ahmad Shapawi berkata, prestasi Skuad Projek FAM-MSN itu bukanlah menjadi keutamaan pihaknya kerana yang penting adalah memastikan pemain dapat mengembangkan bakat sehingga dapat dipancing mana-mana kelab dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Kita mahukan para pemain terus dibentuk dan bantu mereka sehingga boleh pasarkan diri ke skuad atau negeri lain,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, jawatankuasa kerja MSN akan mengadakan perbincangan bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mengolah semula program dalam skuad berkenaan pada masa depan.

Skuad Projek FAM-MSN ketika ini terperosok di tangga tercorot Liga Premier dengan hanya mengutip lapan mata selepas 18 perlawanan liga musim ini.

Julai lepas, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan saingan Liga-M akan melalui penstrukturan yang menyaksikan penyertaan 18 pasukan dalam saingan Liga Super, manakala Liga Premier dihentikan sementara bermula musim 2023.

Penstrukturan itu juga menyaksikan saingan Liga Simpanan diperkenalkan mulai musim depan melibatkan kesemua 18 pasukan Liga Super 2023 yang perlu menyediakan skuad Bawah 23 Tahun (B-23) masing-masing bagi saingan tersebut, selain tambahan skuad Projek FAM-MSN sebagai pasukan ke-19.

Artikel Berkaitan:

Ia antara lain bagi menawarkan minit permainan lebih tinggi dan jumlah perlawanan kompetitif lebih banyak kepada pemain selain meningkatkan nilai komersial saingan liga tempatan yang akan memberi manfaat kepada semua pihak. - Bernama