Polis lengkapkan siasatan dakwaan cubaan culik palsu

Mohd Yusri
Mohd Yusri
A
A
A

IPOH - Polis sedang melengkapkan siasatan kes dakwaan palsu cubaan culik seorang murid di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Pengkalan, Taman Pinji Mewah di sini yang tular menerusi media sosial, Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kertas siasatan kes akan dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dalam masa terdekat bagi mendapatkan arahan dan tindakan lanjut.

"Siasatan mendapati cubaan culik murid adalah tidak benar dan cerita itu direka oleh murid itu sendiri. Buat masa ini, kita dalam tindakan untuk melengkapkan kertas siasatan dengan melihat kepada pelbagai sudut.

"Jika ada cadangan untuk kita mendakwa ibu bapa kepada murid ini kerana membuat laporan palsu, kita akan serahkan kepada TPR untuk tindakan lanjut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri, Ketua Polis Daerah Taiping dan Pengerusi Perkep Daerah Taiping di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini pada Jumaat.

Mohd Yusri berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu culik dan Seksyen 182 kanun sama kerana membuat laporan palsu.

Kes berkenaan tular di Facebook selepas bapa kanak-kanak terbabit memuat naik satu hantaran mendakwa anaknya hampir menjadi mangsa penculikan.

Polis yang menerima laporan dibuat ibu murid berkenaan telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Mohd Yusri (tengah) menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak antara Anuar (kiri) dan Zaihairul (kanan).
Mohd Yusri (tengah) menyaksikan serah terima tugas jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak antara Anuar (kiri) dan Zaihairul (kanan).

Hasil siasatan mendapati, murid perempuan berusia 9 tahun terbabit telah mereka cerita kepada ibunya berhubung kejadian culik itu kerana terpengaruh dengan kejadian sama yang tersebar di media sosial.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, bekas Ketua JSJ Perak, Datuk Anuar Othman menyerahkan tugas kepada timbalannya, Asisten Komisioner Zaihairul Idrus selepas beliau dinaikkan pangkat dan menggalas tugas sebagai Komandan Maktab PDRM Kuala Lumpur.

Jawatan Ketua Polis Daerah Taiping pula kini disandang oleh Asisten Komisioner Razlam Ab Hamid selepas Senior Asisten Komisioner Osman Mamat menjawat jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah (Perancangan dan Pembangunan Dasar Strategik), Bahagian Dasar Sumber Manusia, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.