Kamarulzaman mula tugas Datuk Bandar KL ke-14

Kamarulzaman pada majlis serah terima tugas di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Bernama
Kamarulzaman pada majlis serah terima tugas di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh memulakan tugas sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-14 bermula Isnin.

Sesi serahan tugas antara bekas Datuk Bandar Kuala Lumpur ke-13, Datuk Seri Mahadi Che Ngah kepada Kamarulzaman dijalankan di Dewan Megapuri, Menara DBKL 1, pada hari sama disaksikan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar.

Mahadi pada Sesi Lambaian Kasih Datuk Bandar Ke-13 mengucapkan tahniah di atas pelantikan Kamarulzaman sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu.

"Saya percaya, beliau akan memacu pentadbiran dan tata kelola DBKL dengan baik bagi memastikan penduduk Kuala Lumpur terus memberi kepercayaan kepada DBKL untuk mentadbir urus ibu negara Kuala Lumpur.

Kamarulzaman (kiri) menerima dokumen pelantikan beliau daripada Mahadi pada majlis serah terima tugas di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Bernama
Kamarulzaman (kiri) menerima dokumen pelantikan beliau daripada Mahadi pada majlis serah terima tugas di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto Bernama

"Besar harapan saya agar DBKL boleh mencapai lebih banyak kejayaan dan menghasilkan kehidupan di Kuala Lumpur ini benar-benar sejahtera untuk semua, dengan kemasyhuran ekonomi yang kukuh dan mantap," katanya berucap pada Sesi Lambaian Kasih Datuk Bandar Ke-13 pada Isnin.

Mahadi telah berkhidmat dengan DBKL hampir 40 tahun dengan lantikan sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur merupakan tugas paling mencabar sepanjang kerjayanya.

"Dalam tempoh dua setengah tahun ini, sesungguhnya kita telah melalui pelbagai cabaran, namun alhamdulillah, sama-sama kita telah dapat mengatasinya dengan baik.

"Kuala Lumpur kini tidak lagi mengalami banjir kilat atau masalah air bertakung yang mengganggu lalu lintas dan kehidupan harian penduduk.

"Kita juga berjaya mengekang kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur menjadi semakin buruk," ujarnya.

Di akhir ucapan, beliau turut mengingatkan kepada warga DBKL untuk terus menimba ilmu, meningkatkan kualiti dan menjalankan tugas dengan tekun serta cemerlang.