Hati-hati produk makanan tidak halal

Pemilik kedai sepatutnya membuat pengasingan produk halal dan haram yang dijual supaya tidak mengelirukan pengguna. Foto hiasan 123RF
Pemilik kedai sepatutnya membuat pengasingan produk halal dan haram yang dijual supaya tidak mengelirukan pengguna. Foto hiasan 123RF
A
A
A

JIKA dahulu kalau ke pasar raya, pastinya dapat dilihat barangan yang tidak halal akan ditempatkan di dalam satu ruangan khas dan tidak dicampurkan bersama produk makanan halal lain.

Ini kerana Malaysia ialah sebuah negara Islam yang majoritinya terdiri daripada penduduk beragama Islam dan secara tidak langsung isu halal haram sangat sensitif bagi pengguna Muslim.

Bagaimanapun, segelintir pemilik pasar raya dilihat memandang mudah isu tersebut. Mereka dengan sewenang-wenangnya mencampurkan produk makanan halal dan tidak halal di tempat atau rak yang sama.

Keadaan itu kian menjadi-jadi apabila banyak produk makanan tidak halal dibawa masuk dari negara luar seperti Korea Selatan dan Jepun kerana budaya kedua-dua negara tersebut semakin menular dalam kalangan masyarakat di Malaysia pada hari ini.

Malah, kedai serbaneka juga tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan yang menjual pelbagai produk makanan tidak halal tanpa sebarang papan tanda ‘Tidak Halal’ di premis masing-masing.

Mereka dilihat bebas menjual seolah-olah tidak mengetahui undang-undang negara yang telah ditetapkan pihak berkuasa. Senario itu amat menakutkan kerana bagi mereka yang tidak tahu membaca tulisan Korea mahupun Jepun, sudah pasti tidak dapat memastikan bahan-bahan terkandung di dalam makanan tersebut.

Ia tidak seharusnya dipandang enteng terutama oleh pihak berkuasa kerana siapa lagi yang ‘berkuasa’ untuk memeriksa dan memberi arahan serta amaran kepada pemilik-pemilik pasar raya berkenaan?

Pihak berkuasa harus memperketatkan pengeluaran lesen perniagaan dan meningkatkan lagi pemeriksaan di kedai-kedai terutama kedai serbaneka.

Artikel Berkaitan:

Pemilik kedai sepatutnya membuat pengasingan produk halal dan haram yang dijual supaya tidak mengelirukan pengguna.

Diharap isu itu dapat ditangani segera secara bersepadu dan perlunya tindakan tegas tanpa sebarang kompromi.

Sentiasa melakukan pemeriksaan secara berkala agar pemilik-pemilik kedai berkenaan tahu undang-undang yang termaktub di negara ini.

Paling kasihan sebenarnya ialah anak-anak muda hari ini yang mudah terpengaruh dengan maklumat-maklumat tular sehinggakan mereka ingin mencuba tanpa memikirkan makanan tersebut halal atau haram.