Gabung jadi satu daerah di Rusia?

Pungutan suara di empat wilayah pro-Kremlin di Ukraine dikecam hebat Kiev dan sekutu Baratnya.
Pungutan suara di empat wilayah pro-Kremlin di Ukraine dikecam hebat Kiev dan sekutu Baratnya.
A
A
A

MOSCOW - Empat wilayah pro-Kremlin di Ukraine berpotensi membentuk daerah tunggal Rusia bersama Crimea yang dirampas Moscow pada tahun 2014 susulan keputusan pungutan suara yang dianggap pembohongan besar oleh Kiev serta sekutu Baratnya.

Lapor akhbar harian Vedomosti, perkara itu dimaklumkan oleh seorang Senator Rusia yang rapat dengan pentadbiran Crimea.

Pada Selasa, puak pemisah mendakwa kemenangan dan mengumumkan keputusan referendum di Zaporizhzhia, Kherson, Lugansk serta Donetsk yang menyaksikan keempat-empat wilayah Ukraine itu sepakat untuk menjadi sebahagian daripada Persekutuan Rusia.

Keempat-empat wilayah itu menempatkan populasi pemisah pro-Rusia yang ramai terutamanya di Lugansk (Republik Rakyat Lugansk) dan Donetsk (Republik Rakyat Donetsk) yang dikenali secara kolektif sebagai Donbass.

Ketua Republik Rakyat Donetsk (DPR), Denis Pushilin (tengah) meraikan keputusan referendum yang menyaksikan wilayah tersebut menjadi sebahagian daripada Rusia.
Ketua Republik Rakyat Donetsk (DPR), Denis Pushilin (tengah) meraikan keputusan referendum yang menyaksikan wilayah tersebut menjadi sebahagian daripada Rusia.

Serentak itu, Presiden Vladimir Putin menegaskan bahawa Moscow akan menggunakan semua sumber termasuk senjata nuklear bagi menangkis sebarang percubaan daripada Kiev untuk merampas semula wilayah berkenaan.

Rusia yang melancarkan operasi ketenteraan khas ke atas Ukraine sejak 24 Februari lalu dilihat gagal menawan Kiev, namun hasil undian referendum di keempat-empat wilayah tersebut mengundang ‘kejutan’ yang sudah dijangka.

Pungutan suara itu berlaku sama seperti lapan tahun lalu apabila ia menggabungkan Semenanjung Crimea, sebahagian daripada bekas Kesatuan Soviet yang dituntut oleh Rusia antara tahun 1991 dan 2014.

Artikel Berkaitan:

Penyatuan itu bagaimanapun dikutuk oleh kebanyakan masyarakat antarabangsa dan Semenanjung Crimea sehingga kini masih tidak diiktiraf sebagai wilayah Rusia oleh Barat.

“Saya tidak ragu-ragu mengenai penubuhan daerah persekutuan baharu yang terdiri daripada wilayah-wilayah yang sepakat bergabung dengan Rusia di Ukraine.

“Dan sudah tentu daerah baharu itu juga akan diberi nama baharu,” kata Sergei Tsekov, Senator Rusia dari Crimea kepada agensi berita RIA Novosti.

Sementara itu, Vedomosti yang memetik dua sumber tidak dinamakan dan rapat dengan Kremlin serta satu sumber dalam industri pertahanan Rusia menyebut bahawa ahli politik nasionalis, Dmitry Rogozin boleh menjadi utusan Putin di daerah baharu itu nanti.

Rogozin pernah berkhidmat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan wakil Rusia ke Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) sebelum dilantik sebagai Ketua Agensi Angkasa Lepas Rusia (Roscosmos) sejak tahun 2018.

Pada Julai lalu, kroni rapat Putin dan penyokong tegar serangan Rusia di Ukraine itu dipecat sebagai ketua Roscosmos.

Moscow bagaimanapun tidak menyatakan alasan di sebalik pemecatan Rogozin.

Dmitry Rogozin dikatakan bakal dilantik sebagai utusan Putin di daerah baharu itu nanti.
Dmitry Rogozin dikatakan bakal dilantik sebagai utusan Putin di daerah baharu itu nanti.

“Rogozin akan diberi tugas baharu,” kata jurucakap Kremiln, Dmitry Peskov baru-baru ini tanpa memperincikan jawatan yang bakal disandangnya. - Agensi


INFO


- Pihak berkuasa pro-Moscow di Zaporizhzhia memaklumkan sebanyak 93.11 peratus pengundi menyokong untuk menyertai Rusia.

- Di Kherson, wilayah dikuasai Moscow di selatan Ukraine, pihak berkuasa berkata pengiraan undi telah selesai yang menyaksikan lebih 87.05 peratus pengundi turut menyokong langkah itu.

- Seterusnya di Lugansk, wilayah yang dikawal kumpulan pemisah pro-Rusia di timur Ukraine, pihak berkuasa mengumumkan lebih 98.42 peratus undi mencatat keputusan sama.

- Pegawai di wilayah Donetsk juga mendakwa meraih kejayaan serupa dengan 99.23 peratus pengundi menyokong ia menyertai Rusia.

- Kesemua empat wilayah tersebut boleh menjadi sebahagian daripada Rusia seawal 30 September jika rang undang-undang berkaitan referendum dikemukakan dan diluluskan oleh Dewan Rakyat Rusia (Duma).