SPRM terikat arahan politik jika diletak bawah Parlimen

Azam ketika sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara pada Khamis.
Azam ketika sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara pada Khamis.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebarang tindakan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen dilihat hanya akan menyebabkan badan itu terikat kepada arahan ahli politik.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya terbuka dengan cadangan yang dikemukakan beberapa pihak sebelum ini, namun dalam masa sama terdapat pihak lain yang mahukan SPRM terus kekal bebas daripada tekanan politik.

Menurutnya, beberapa negara tertentu yang meletakkan badan pencegahan rasuah di bawah Parlimen atau Senat perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu untuk menjalankan siasatan melibatkan kes berprofil tinggi.

"Sebelum ini saya pernah mendapat mesej daripada seorang menteri kanan yang bertanyakan adakah SPRM sedang menyiasat beliau. Saya cuma balas 'Ya, terima kasih', setakat itu sahaja.

"Dalam siasatan kes Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) misalnya, ramai individu berprofil tinggi dinamakan, adakah saya perlu tanya mereka terlebih dahulu sebelum membuka kertas siasatan? Kita tidak pernah tanya dan ini menunjukkan kebebasan kita," katanya ketika sesi dialog bersama media dalam program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Utara di sini pada Khamis.

Dalam pada itu Azam berkata, SPRM masih boleh dilihat bebas meskipun tidak diletakkan di bawah Parlimen sekiranya cadangan yang digariskan menerusi Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau berkata, langkah itu akan memastikan jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak dilantik secara sewenang-wenangnya sebaliknya menerusi perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Artikel Berkaitan: