Christian Didier buru gelaran sulung Terbuka KL

Christian Didier akan buat penampilan ketiga Kejohanan Tenis Sirkit Kebangsaan Terbuka KL 2022. - Foto FB Christian Didier
Christian Didier akan buat penampilan ketiga Kejohanan Tenis Sirkit Kebangsaan Terbuka KL 2022. - Foto FB Christian Didier
A
A
A

WALAUPUN tidak berada dalam kecerdasan terbaiknya, pemain tenis negara, Christian Didier Chin tekad memburu gelaran sulung bagi kategori perseorangan lelaki di Kejohanan Tenis Sirkit Kebangsaan Terbuka Kuala Lumpur (KL) 2022 yang bermula Rabu sehingga Ahad.

Atlet berusia 22 tahun itu akan membuat penampilan kali ketiga di kejohanan itu optimis mampu mempersembahkan aksi mantap walaupun akan menerima saingan sengit antaranya daripada peserta Korea Selatan.

Sebagai rekod, beliau tewas di pusingan final pada penampilan pertama pada kejohanan itu pada 2015, manakala hanya memenangi gelaran beregu lelaki ketika penampilan keduanya pada 2019.

“Terbuka Kuala Lumpur merupakan acara terbesar di Asia bagi tenis, jadi saya berharap dapat memberikan aksi yang terbaik dan menikmati perlawanan saya.

“Kejohanan kali ini banyak disertai pemain muda jadi saya akan pamerkan perlawanan yang berwibawa.

“Kali ini rasa pelik sebab turun sebagai pilihan pertama tetapi saya akan cuba, fokus satu demi satu perlawanan kerana tangan kiri masih cedera. Mungkin sebab banyak pergi gim dan buat workout, yang sepatutnya saya tidak lakukan, ia masih dalam proses pemulihan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan menyertai kejohanan itu dibuat pada saat akhir, selepas dipelawa oleh seorang ahli Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) yang mahu melihat beliau beraksi di kejohanan berprestij berkenaan.

Dalam pada itu, Christian berkata, beliau sudah berhijrah ke Sydney, Australia sejak Januari lalu untuk mendapatkan nafas baharu dalam dunia sukan itu, namun masih mendapatkan khidmat jurulatih peribadi Saeed Alirizad.

Artikel Berkaitan:

Atlet kelahiran Sabah itu bagaimanapun menegaskan bersedia untuk menggalas cabaran negara sekiranya khidmatnya diperlukan dalam mana-mana kejohanan.

“Ia sukar tetapi bagi jangka panjang ia memberi manfaat. Tenis adalah sukan besar jika saya beraksi di sana dengan pemain Australia.

"Saya akan lebih matang dan matlamat peribadi adalah untuk bermain dalam kejohanan yang lebih besar,” katanya. - Bernama.