Pelajar cemerlang gagal ke universiti awam, UPU perlu lebih telus

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Bangsa Malaysia (PBM) menggesa agar proses permohonan melalui Unit Pusat Universiti (UPU) dijadikan lebih telus kerana terdapat pelajar cemerlang peperiksaan gagal ke universiti awam (UA).

Ketua Wanita Muda Nasional PBM, Muniraa Abu Bakar berkata, situasi itu sekali gus menimbulkan persoalan kriteria sebenar yang diguna pakai oleh pihak universiti dan UPU.

Jelasnya, kegagalan pelajar cemerlang mendapat tempat di UA tanpa boleh melemahkan semangat individu berkenaan dan menyumbang kepada kehilangan sumber daya manusia terbaik negara ini.

"PBM merujuk satu insiden yang tular di media sosial baru-baru ini di mana seorang graduan Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan, Pahang berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.95, gagal mendapat tempat untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah di sebuah universiti ternama negara.

"Apa yang pelik, sama juga dengan beberapa kes lain, dalam permohonan dibuatnya melalui University and Colleges Admissions Service (UCAS), dia berjaya diterima masuk oleh dua universiti di United Kingdom, iaitu University of Sheffield dan University of Nottingham.

"Dalam kes ini, timbul persoalan bagaimana permohonan pelajar cemerlang ditolak oleh UA negara kita, tetapi dengan pantasnya diterima pula oleh universiti-universiti luar negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sebelum ini menjelaskan persaingan sengit dan tempat terhad bagi program tertentu merupakan antara faktor ramai pelajar tidak layak mendapat tempat di 20 UA.

Tambah Muniraa, berkemungkinan masalah ini juga antara penyebab mengapa ramai warganegara ini lebih memilih untuk bermastautin dan mencari rezeki di bumi asing.

Artikel Berkaitan:

"Mengikut laporan sebelum ini, dalam tempoh beberapa tahun lalu, lebih dua juta rakyat Malaysia kini tinggal dan bekerja di luar negara, kebanyakannya dalam bidang profesional.

"PBM percaya antara punca keadaan itu adalah kerana ramai pelajar kita gagal mendapat tempat di UA tempatan, sekali gus memaksa mereka melanjutkan pengajian di universiti luar negara dan kemudian mendapat tawaran kerja, seterusnya terus menetap di sana," katanya.

Beliau dalam masa sama turut melontarkan persoalan mengenai pelajar yang tidak mempunyai kemampuan kewangan tetapi cemerlang dalam pengajian serta permohonan mereka ditolak oleh UA di negara ini.

"Tanpa bantuan mana-mana pihak, mereka mungkin terpaksa terus melangkah ke alam pekerjaan kerana sudah tiada pilihan.

"Perkembangan ini sememangnya sesuatu yang membimbangkan dan memerlukan penyelesaian segera. Kita tidak boleh kehilangan bakat-bakat cemerlang kepada negara asing hanya kerana sistem pengambilan kemasukan ke UA di negara kita ada kelemahannya," tegasnya.