Aktiviti haram ancam pembiakan ikan di perairan negara

Benih ikan musnah akibat aktiviti tangkapan haram.
Benih ikan musnah akibat aktiviti tangkapan haram.
A
A
A

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi perhatian serius dan mengambil tindakan segera bagi mengatasi aktiviti tangkapan secara haram yang mengancam pembiakan ikan di perairan negara ini.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, masalah itu sudah lama berlaku bukan saja menjejaskan pendapatan nelayan pantai tetapi juga menyebabkan sumber perikanan mengalami kepupusan pada masa akan datang.

Menurutnya, dalam tinjauan yang dibuat, CAP mendapati selain pukat tunda yang menjadi ancaman kepada pembiakan ikan di perairan negara sejak lebih 40 tahun yang lalu, penggunaan pukat rawa sorong, pukat apollo, pukat siput dan bubu naga juga semakin berleluasa ketika ini.

"Di Sabah penggunaan bahan letupan atau bom dalam kalangan nelayan dan penangkap ikan di sini juga telah menyumbang kepada peningkatan kemusnahan benih ikan dan kerosakan batu karang di perairan negeri berkenaan.

"Di Pantai Timur pula, pencerobohan nelayan asing terutama dari Vietnam yang berterusan sejak sekian lama menyebabkan negara ini mengalami kerugian RM4.25 bilion setiap tahun kerana hasil laut dirompak oleh nelayan bot pukat tunda dari negara itu," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Khamis.

Mohideen berkata, setiap hari beribu tan benih hidupan laut berbagai spesies musnah akibat penggunaan peralatan tersebut.

Jelasnya, sebuah bot pukat tunda misalnya memerangkap dan membunuh lebih 60 peratus benih anak ikan yang tidak boleh dimakan dan dipasarkan.

Artikel Berkaitan:

Penggunaan bubu naga juga semakin berleluasa dan menjadi punca kerosakan hidupan marin dan benih ikan.
Penggunaan bubu naga juga semakin berleluasa dan menjadi punca kerosakan hidupan marin dan benih ikan.

Di samping itu, katanya hasil tangkapan dan sumber pendapatan nelayan terutama mereka yang mencari sumber rezeki di pesisir pantai merosot melebihi 50 peratus setiap kali turun ke laut.

"Disebabkan masalah itu ia berlarutan kepada pengguna yang akan menerima kesan dengan peningkatan harga ikan yang melambung di pasaran.

"Menurut Jabatan Perikanan, stok ikan di perairan Semenanjung Malaysia berada pada paras kritikal apabila biomass sumber perikanan demersal semasa direkodkan hanya berbaki 4.4 peratus sahaja ketika ini berbanding 60 tahun yang lalu," tambahnya.

Dalam pada itu, Mohaideen berkata kajian yang dibuat pada tahun 2016 mendapati stok ikan demersal seperti spesies gelama, kerisi, lolong bara, udang dan sotong semakin menyusut daripada 473,345 tan metrik kepada 21,002 tan metrik.

Tambahnya, walaupun masalah ini sudah lama berlaku tetapi tidak ada tindakan berkesan yang diambil oleh pihak kerajaan bagi mengatasinya.

"Bot pukat tunda terus menceroboh zon tangkapan nelayan pantai dan semakin banyak alat tangkapan yang diharamkan digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"CAP menggesa MAFI, Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengambil tindakan segera bagi menangani keadaan yang semakin meruncing berlaku dalam sektor perikanan ketika ini," katanya.