Masa depan Mo Farah cetus tanda tanya

Mo Farah terpaksa menarik diri daripada Maraton London ekoran kecederaan di bahagian pinggul. - Foto Agensi
Mo Farah terpaksa menarik diri daripada Maraton London ekoran kecederaan di bahagian pinggul. - Foto Agensi
A
A
A

MASA depan atlet sensasi, Mo Farah dalam saingan maraton di peringkat perlumbaan kompetitif mencetuskan tanda tanya ekoran penarikan diri daripada menyertai Maraton London hujung minggu ini.

Atlet berusia 39 tahun itu terlepas saingan tersebut kerana mengalami kecederaan di bahagian pinggul.

Pemenang pingat emas Olimpik empat kali itu dalam usaha untuk menyertai perlumbaan buat kali pertama sejak 2019 selepas kembali aktif di trek.

Beliau sebelum ini melayakkan diri ke Olimpik 2020 di Tokyo tahun lalu.

Bagaimanapun Mo Farah kembali meraih prestasi terbaik dengan memenangi saingan Big Half iaitu perlumbaan separuh maraton di London awal bulan ini.

“Saya berlatih bersungguh-sungguh sejak beberapa bulan lalu dan kembali ke tahap yang baik serta berasa cukup optimistik untuk mempamerkan prestasi yang mantap.

“Namun sejak 10 hari lalu saya berasa sakit dan kurang selesa di pinggul kanan. Saya menjalani fisioterapi dan rawatan.

“Saya melakukan segala yang mampu untuk berada di garisan permulaan tetapi ia tidak cukup baik untuk bersaing pada Ahad ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Farah tidak pernah memenangi Maraton London dalam tiga percubaan sebelum ini dan penamat terbaiknya adalah di tempat ketiga yang diraih pada 2018.

“Ia benar-benar mengecewakan terpaksa menarik diri selepas beberapa bulan lalu yang baik dan kemenangan di The Big Half.

“Saya juga suka berlumba di hadapan penonton di London yang sentiasa memberi sokongan buat semua atlet,” katanya.