Rhys, 4 ahli keluarga hilang di Kuala Tahan ditemui selamat

Rhys (kiri) yang dilaporkan hilang di Kuala Tahan pada Selasa ditemui selamat pada Rabu. - Foto Astro Awani
Rhys (kiri) yang dilaporkan hilang di Kuala Tahan pada Selasa ditemui selamat pada Rabu. - Foto Astro Awani
A
A
A

JERANTUT - Warga Britain, Rhys William James Woodfield, 30, atau lebih dikenali sebagai Rhys bersama empat ahli keluarganya yang dilaporkan hilang sejak Selasa lalu ditemui dalam keadaan selamat di Kuala Tahan, di sini pada Rabu.

Astro Awani melaporkan, kehilangan pengacara dan penulis blog makanan “Mat Salleh Cari Makan” itu telah dibuat isterinya, Haigbrown Woodfield, 30, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jerantut.

Dalam laporan Astro Awani itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superitendan Mazlan Hassan berkata, Rhys bersama empat anggota keluarganya melancong ke Kuala Tahan sejak 25 September lalu dan menginap di sebuah resort di Kuala Tahan dan mereka sepatutnya pulang ke ibu negara petang Rabu.

Mazlan berkata, bimbang dengan keselamatan mereka, isterinya telah melaporkan kehilangan Rhys bersama adik iparnya, Siaw Woodfield, 25, dan Owen Woodfield, 22.

“Turut serta melancong bersama mereka ke Kuala Tahan, bapa mertuanya, James Woodfield, 62, dan ibu mertuanya, Rachel Anne Woodfield, 60," katanya.

Jelas Mazlan, pada 27 September, kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa bersama empat ahli keluarganya telah keluar dari kawasan hutan dan sepatutnya pulang ke Kuala Lumpur.

"Isterinya membuat laporan polis setelah mangsa gagal dihubungi dan percaya lokasi terakhir suami dan keluarganya berada di kawasan Hutan Kampung Pagi, Ulu Tembeling.

“Setelah menerima maklumat, pihak polis segera melakukan pencarian di Kampung Pagi dibantu pengusaha Eco Rimba Taman Negara Kuala Tahan dan anggota Pondok Polis Kuala Tahan.

Artikel Berkaitan:

"Pencarian turut dibantu anggota Pondok Polis Kampung Bantal yang melakukan rondaan dari Kampung Bantal ke Kampung Pagi," katanya.

Mazlan berkata, pusat operasi dibuka di Balai Raya Kampung Pagi pada operasi mencari dan penyelamat (SAR) dimulakan pada jam 8 pagi pada Rabu sebelum mangsa berjaya ditemui dalam keadaan selamat pada hari yang sama.

"Semua mangsa dibawa untuk pemeriksaan kesihatan di Klinik Kuala Tahan," katanya.