Polis nafi kejadian culik berlaku di Hulu Selangor

No Image Caption
A
A
A

HULU SELANGOR - Polis Hulu Selangor menafikan dakwaan berlakunya kes penculikan atau cubaan menculik kanak-kanak sebagaimana tular di aplikasi WhatsApp.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, pihaknya telah terkesan sekeping surat yang dikeluarkan oleh sebuah sekolah rendah agama di sini pada Selasa.

"Sehingga hari ini, Polis Hulu Selangor tidak menerima sebarang laporan polis berhubung isu yang sedang tular," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Suffian berkata, berdasarkan siasatan pihak polis mendapati surat tersebut telah dikeluarkan oleh guru besar sekolah terbabit kepada ibu bapa dan penjaga murid sekolah berkenaan.

"Surat tersebut adalah inisiatif pihak sekolah untuk memberi peringatan kepada ibu bapa dan penjaga bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Beliau berkata, pihaknya meminta masyarakat bertenang dan sentiasa menghubungi pihak polis sekiranya mempunyai isu berkait keselamatan.

"Pihak sekolah juga hendaklah sentiasa berhubung dengan pihak polis melalui pegawai perhubungan sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat situasi semasa.

"Orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang tidak tepat serta menularkan berita yang palsu dan hendaklah merujuk kepada pihak polis bagi mendapatkan maklumat yang tepat," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!