2 bot, 19 kru warga Vietnam ditahan ceroboh perairan negara

Maritim Malaysia Zon Maritim Mersing menahan bot nelayan asing Vietnam di Pulau Aur, pada Selasa.
Maritim Malaysia Zon Maritim Mersing menahan bot nelayan asing Vietnam di Pulau Aur, pada Selasa.
A
A
A

MERSING - Dua bot nelayan asing bersama 19 kru warganegara Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing bersama Pasukan Polis Marin (PPM) kerana menceroboh perairan negara.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Khairul Nizam Misran berkata, kedua-dua bot berkenaan ditahan di kedudukan 12.8 batu nautika timur laut Pulau Aur sekitar jam 2.30 petang pada Selasa.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati terdapat 19 kru termasuk tekong, disyaki warga Vietnam berumur antara 18 hingga 51 tahun.

"Kesemua mereka didapati gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Pos Teluk Gading untuk siasatan lanjut.

Warga asing yang ditahan selepas gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah.
Warga asing yang ditahan selepas gagal mempamerkan pengenalan diri yang sah.

"Dua bot berserta peralatan menangkap ikan dan hasil tangkapan dianggarkan 3,000 kilogram dirampas. Hasil rampasan keseluruhan dianggarkan bernilai RM3.1 juta.

"Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Maritim Malaysia mengingatkan seluruh komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan sekiranya gagal tindakan sewajarnya akan dikenakan.

Artikel Berkaitan:

Sebarang aduan jenayah boleh hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404.