NSA, MSN boleh bincang cadangan naikkan insentif SHAKAM

Laporan Sukan Sinar pada 30 Ogos lalu. Gambar kecil: Ramlan
Laporan Sukan Sinar pada 30 Ogos lalu. Gambar kecil: Ramlan
A
A
A

ATLET negara sudah sedia maklum jumlah imbuhan yang termaktub dalam insentif ganjaran imbuhan Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM), sekiranya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Malah menurut bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz, garis panduan atau syarat ditetapkan menerusi SHAKAM boleh disifatkan sebagai dos penggalak kepada atlet negara.

“Sebenarnya MSN tidak boleh tanpa kajian mendalam dan menyeluruh mengubah polisi atau dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini kecuali arahan daripada kerajaan.

Sekiranya pencapaian itu satu sejarah ganjaran atau imbuhan tambahan hanya boleh diputuskan kerajaan atas budi bicara atau pertimbangan dalam bentuk one off (bayaran sekali sahaja).

“Jadi dalam perkara berkaitan dengan SHAKAM ini, semua atlet negara telah sedia maklum jumlah ganjaran yang akan diterima masing-masing menurut garis panduan dan ketetapan yang sedia ada, sekiranya berjaya meraih pencapaian yang ditetapkan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Untuk rekod, beregu badminton lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik bakal menerima imbuhan menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) yang disediakan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) susulan kejayaan merangkul gelaran Kejohanan Badminton Dunia di Tokyo Jepun, pada Ogos lalu.

Sebelum ini, Sukan Sinar melaporkan terdapat cadangan supaya dilakukan penambahbaikan terhadap insentif SHAKAM supaya lebih relevan dengan situasi semasa pada hari ini.

Dalam pada itu, Ramlan yang juga bekas Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) berkata, MSN boleh mengesyorkan kepada KBS untuk menyelaraskan jumlah imbuhan SHAKAM pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

“Namun persatuan sukan kebangsaan (NSA) juga perlu memainkan peranan proaktif berbincang dengan MSN berkenaan isu ini.

“Input-input perbincangan ini akan membolehkan MSN menilai dan melihat kewajaran sebelum mengemukakan saranan kepada kerajaan menerusi KBS berkenaan penambahan insentif.

“Penambahan jumlah imbuhan SHAKAM juga perlu melihat kepada pelbagai aspek khasnya indeks ekonomi terutamanya kos kehidupan yang berubah-ubah mengikut peredaran zaman,” katanya.

Selain daripada itu, Ramlan memaklumkan pihak-pihak lain seperti ISN juga terus berperanan dalam menyediakan khidmat sokongan prestasi yang jelas berkesan sejak dahulu lagi.

“Adalah wajar keupayaan ISN dipertingkatkan. Ini juga menelan perbelanjaan yang memanfaatkan atlet dan jurulatih demi kesinambungan impak terhadap prestasi atlet berkenaan.

“Pihak MSN pula menyediakan sokongan kewangan dan logistik terhadap program latihan dan pertandingan tentu memerlukan peningkatan yang wajar.

“Kedua-dua faktor ini juga boleh dilihat sebagai pelaburan pihak kerajaan kepada kemajuan dan pembangunan prestasi atlet yang bermakna,” katanya.