Apa sudah jadi Sumareh?

Aksi Sumareh pada saingan Piala Raja Thailand di Chiang Mai baru-baru ini mengundang kemarahan peminat bola sepak tempatan.
Aksi Sumareh pada saingan Piala Raja Thailand di Chiang Mai baru-baru ini mengundang kemarahan peminat bola sepak tempatan.
A
A
A

AKSI hambar pemain naturalisasi Harimau Malaya, Mohamadou Sumareh dalam saingan Piala Raja Thailand baru-baru ini menimbulkan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan.

Mereka turut menimbulkan persoalan sama ada kudrat pemain ‘import segera’ Harimau Malaya itu masih relevan atau lupakan sahaja khidmatnya pada tugasan akan datang.

Bagi bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan, beliau percaya tenaga Sumareh atau mana-mana pemain naturalisasi masih mampu menyumbang buat Harimau Malaya.

“Ada baik dan buruknya pemain naturalisasi. Jawatankuasa pemilihan pasukan kebangsaan perlu membuat penilaian yang betul sebelum seseorang pemain itu dipilih menyarung jersi kebangsaan.

Ini bukan isu baharu kerana sebelum ini kita pernah dengar masalah yang sama membabitkan pemain naturalisasi apabila mereka gagal menyerlah bersama pasukan kebangsaan.

“Sebaik-baiknya ada syarat yang ketat dan petunjuk prestasi utama (KPI) yang tinggi kerana ia penting demi kebaikan skuad kebangsaan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Pada masa sama, beliau berkata, program pembangunan pemain muda perlu diperkukuh menerusi satu filosofi bola sepak Malaysia sebagai kesinambungan perjalanan mereka sebelum menyertai Harimau Malaya.

“Pemilihan pembantu jurulatih, E Elavarasan sebagai jurulatih bawah 23 tahun (B-23) amat bertepatan untuk dia meneruskan falsafah sama yang diterapkan (ketua jurulatih) Kim Pan-gon dalam skuad Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

“Falsafah sama boleh diterapkan untuk skuad B-19 dan B-17 serta pemain remaja negara. Jadi barulah ada kesinambungan sehingga peringkat senior,” ujarnya.

Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali turut senada dengan Wan Jamak sambil berkata, pemilihan perlu dibuat ke atas pemain berkualiti sahaja dan lebih baik berbanding pemain tempatan.

“Ia bukan sekadar tangkap muat boleh jumpa di pasar raya. Saya tidak setuju dari awal lagi (program naturalisasi), ia satu kegagalan. Nak pilih, biarlah pilih yang benar-benar berkualiti dan beri impak positif,” katanya.

Beliau berkata, pemberian kerakyatan kepada warga asing tidak boleh dibuat sewenang-wenang dan kelab dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu memperhalusinya serta mengikatnya dengan peraturan.

“Saya lihat ramai pemain tempatan lebih bagus. Sumareh pun bergelut untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama kelabnya. Bagaimana untuk dia jadi yang terbaik dalam pasukan kebangsaan?” soalnya.