PSM ada tempoh hingga Jumaat

Ibrahim Mohd Yusof
Ibrahim Mohd Yusof
A
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) mempunyai masa sehingga Jumaat ini untuk mengemukakan rayuan bagi mengelakkan pembatalan persatuan tersebut.

Jelas Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd Yusof, notis cadangan pembatalan daripada Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) sudah dikeluarkan kepada PSM pada 15 September lalu.

“Apa yang boleh saya tegaskan di sini buat masa ini PSM masih belum dibatalkan, ia cuma notis cadangan pembatalan yang badan induk itu perlu kemukakan sebab untuk kita semak kembali sama ada mereka perlu dikekalkan atau sebaliknya.

“Setakat hari ini Pejabat Pesuruhjaya Sukan masih belum menerima sebarang makluman daripada PSM,” katanya selepas Majlis Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Selasa.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; timbalannya, Datuk Seri Ti Lian Ker; Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Datuk Jana Santhiran Muniayan; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin dan Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

Sementara itu, Ahmad Faizal menegaskan kementerian masih berusaha mencari jalan tengah menyelesaikan kemelut melibatkan PSM dan Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (MASTAF).

“Kementerian sedang mengadakan libat urus perundingan dengan pihak PSM dan juga MASTAF, akhirnya apa yang Kementerian Belia dan Sukan mahukan ialah sukan sepak takraw itu dapat dimartabatkan.

“Saya nak cari satu jalan yang mengharmonikan semua pemimpin sukan sepak takraw di semua peringkat supaya kita benar-benar dapat memperkasakan persatuan sukan itu,” ujarnya.

Artikel Berkaitan: