Modal perniagaan lesap terima duit palsu

Mangsa menunjukkan wang diterimanya hasil jualan telefon bimbit berkenaan. - Foto Facebook
Mangsa menunjukkan wang diterimanya hasil jualan telefon bimbit berkenaan. - Foto Facebook
A
A
A

KAJANG - Niat seorang lelaki menjual telefon bimbit miliknya sebagai modal perniagaan tak kesampaian apabila hasil jualan diperolehi merupakan wang palsu dalam kejadian di Bandar Teknologi pada 20 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, mangsa dihubungi suspek selepas memuat naik iklan jualan telefon bimbit berkenaan di Facebook dan bersetuju untuk berjumpa selepas kedua-dua berpuas hati dengan harga ditawarkan.

"Setelah bersetuju dengan tawaran harga yang diberikan, mangsa telah berjumpa dengan suspek iaitu seorang perempuan tempatan di sekitar Pasar Raya Billion, Bandar Teknologi.

"Suspek telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM1,950 kepada mangsa membabitkan 17 keping wang RM100 dan lima keping wang RM50.

"Mangsa telah pergi ke mesin deposit tunai (CDM) di sebuah bank untuk memasukkan wang ke dalam akaun namun mendapati 17 keping wang RM100 yang diterima daripada suspek disyaki adalah palsu kerana tidak diterima CDM," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Mohd Zaid berkata, suspek terbabit datang ke lokasi perjumpaan itu menaiki sebuah kereta jenis Kia Cerato berwarna coklat yang dipandu seorang lelaki.

Katanya, siasatan lanjut di bawah Seksyen 489B Kanun Keseksaan sedang dijalankan untuk mengesan suspek terbabit.

"Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihati sentiasa berhati-hati dan tidak berurusan secara terburu-buru semasa membuat urusan pembelian secara tunai atau Cash On Delivery (COD).

Artikel Berkaitan:

"Kenal pasti individu yang berurusan dengan anda bagi mengelak menjadi mangsa penipuan," ujar beliau.