Lima persatuan sukan dapat penarafan lima bintang

Ahmad Faizal bersama Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tiga, kiri) yang menerima Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 di MSN pada Selasa. - Foto Bernama
Ahmad Faizal bersama Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (tiga, kiri) yang menerima Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 di MSN pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berharap supaya persatuan sukan yang meraih penarafan bintang akan menjadi contoh ikutan kepada badan sukan lain untuk menyinar di masa depan.

“Saya amat berharap agar pertubuhan-pertubuhan sukan yang berjaya menerima penarafan bintang ini menjadi 'role model' kepada badan-badan sukan lain untuk menyinar di masa depan.

Bagaimanapun, pertubuhan-pertubuhan sukan yang gagal menerima penarafan bintang hendaklah juga memainkan peranan lebih signifikan.

“Jadikanlah kejayaan pertubuhan-pertubuhan sukan lain sebagai kayu ukur untuk mencapai lebih kejayaan pada masa depan,” katanya pada Majlis Anugerah Penarafan Bintang Badan Sukan 2021 di Majlis Sukan Negara (MSN) pada Selasa.

Lima persatuan sukan kebangsaan dianugerahkan taraf lima bintang dalam majlis anjuran Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) dengan kerjasama MSN.

Ahmad Faizal bersama penerima-penerima Anugerah Penarafan Bintang Sukan Tahun 2021 di MSN pada Selasa. - Foto Bernama
Ahmad Faizal bersama penerima-penerima Anugerah Penarafan Bintang Sukan Tahun 2021 di MSN pada Selasa. - Foto Bernama

Lima persatuan itu adalah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Persekutuan Wushu Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Persatuan Skuasy Raket Malaysia (SRAM).

Untuk rekod, 94 persatuan sukan menerima penarafan bintang dan daripada jumlah itu, lima peratus persatuan sukan kebangsaan, 10 peratus persatuan sukan negeri, 66 peratus persatuan sukan daerah dan 19 peratus persatuan sukan kelab.

Artikel Berkaitan:

Hasil daripada penilaian itu mendapati, lima persatuan sukan kebangsaan menerima pengiktirafan lima bintang manakala 10 badan sukan lain meliputi pelbagai peringkat berjaya meraih penarafan empat bintang.

Tiga daripada 10 badan sukan yang menerima penarafan empat bintang pada penganugerahan kali ini adalah berstatus kelab.

Sementara itu, Ahmad Faizal juga berharap setiap persatuan memastikan semua ahli gabungan ditadbir dengan baik mengikut perlembagaan masing-masing.

“Kementerian Belia dan Sukan sentiasa membuka pintu untuk membantu mana-mana badan sukan yang memerlukan khidmat nasihat dan sebagainya," katanya.