Malaysia desak usaha gigih bagi pelucutan senjata nuklear

Saifuddin - Foto Bernama
Saifuddin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menggesa usaha gigih dilaksanakan terhadap pelucutan senjata nuklear, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Beliau menghadiri mesyuarat peringkat tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sempena memperingati Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Senjata Nuklear Menyeluruh pada Isnin, sambil berkata, komuniti global kekal menjadi tebusan kepada senjata pemusnah besar-besaran ini disebabkan oleh tindakan tidak wajar segelintir pihak.

Beliau berkata, Perjanjian mengenai Ketakcambahan Senjata Nuklear (NPT) secara umum dianggap sebagai asas kepada perlucutan senjata nuklear global.

Bagaimanapun, kegagalan Persidangan Kajian Semula NPT Kesepuluh untuk menerima pakai dokumen hasil substantif adalah peringatan untuk menggiatkan semula usaha ke arah pelucutan senjata nuklear yang penting bagi memastikan NPT kekal relevan di mana integriti dan kredibilitinya terpelihara, katanya.

"Penambahbaikan secara kualitatif yang berterusan serta pertambahan senjata nuklear memburukkan lagi situasi yang tegang, mewujudkan ketidakstabilan dan menimbulkan ancaman kepada masyarakat.

"Walaupun menghadapi banyak cabaran dalam ekosistem keselamatan global, kita mesti kekal teguh dan tegas dalam usaha ke arah dunia yang bebas daripada ancaman senjata nuklear,” kata Saifuddin dalam catatannya di Facebook.

Malaysia mengalu-alukan penganjuran Mesyuarat Pertama Negara-Negara Berpihak kepada Perjanjian Mengenai Larangan Senjata Nuklear (TPNW).

Sebagai Pengerusi Bersama kumpulan kerja tidak rasmi mengenai penyejagatan TPNW, Malaysia menyeru semua negara yang masih belum menjadi ahli untuk menyertai Perjanjian berkenaan, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: