Bukan amalan pegawai berurusan terus dengan PM: Saksi

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-26 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa, bukan menjadi amalan pegawai berurusan terus dengan Perdana Menteri biarpun mempunyai kebimbangan dalam projek usaha sama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan Aabar Investment BVI Co.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa berkata demikian selepas ditanya oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai kertas cadangan projek tersebut.

Ketika pemeriksaan balas dalam prosiding kes rasuah RM2.3 bilion dana 1MDB dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri itu, Siti Zauyah, 63, berkata, kertas cadangan bagi projek ini dilakukan secara tergesa-gesa.

Bukan itu sahaja, kertas cadangan mengenai aliran tunai bagi projek itu tidak dilakukan secara usaha wajar.

“Itu pertama kali tiada unjuran aliran tunai dibuat sedangkan ia sangat penting untuk meneliti sama ada pelaburan ini boleh menghasilkan keuntungan untuk membayar balik pinjaman,” katanya.

Meskipun merasa bimbang dengan isu tersebut, beliau tidak pernah menyuarakan perkara itu kepada Najib.

Ini kerana, ketika kejadian beliau yang bertugas sebagai Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan mengakui mempunyai maklumat 1MDB yang sangat terhad.

Menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, saksi ini berkata, selaku pegawai kanan kementerian kewangan, seseorang kakitangan tidak boleh melangkau pegawai atasannya dengan mengadu secara terus kepada Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Sri Ram: Mengapa datuk tidak mengadu terus kepada Najib mengenai tindakan 1MDB yang memaklumkan hanya berurusan dengan perdana menteri berhubung operasi dan hal ehwal syarikat?

Siti Zauyah: Saya telah membangkitkan perkara itu kepada Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, tetapi beliau beritahu tidak mahu terbabit.

Sri Ram: Sebelum ini datuk ada beritahu bahawa Ketua Setiausaha Perbendaharaan, ketika itu, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah mengenai keperluan mendapatkan butiran lanjut daripada 1MDB.

Siti Zauyah: Saya diarahkan supaya proses sahaja (kertas cadangan bagi surat sokongan).

Sri Ram: Apa yang datuk rasa, selepas Mohd Irwan kata perkara itu mustahak dan ia merupakan arahan Perdana Menteri.

Siti Zauyah: Saya anggap ia sebagai satu arahan.

Dalam keterangan sebelum ini, saksi itu memberitahu mahkamah, 1MDB

perlu mendapatkan surat sokongan daripada kerajaan untuk mengumpul dana AS$3 bilion bagi tujuan projek usaha sama dengan dengan Aabar Investment BVI Co.

Katanya, kertas cadangan mengenai keperluan 1MDB untuk mendapatkan surat sokongan disediakan oleh Kementerian Kewangan dan dibentangkan di Kabinet sebelum diluluskan Jemaah Menteri.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.