65,000 pelajar sertai eKelas

Maxis menganjurkan Anugerah Gemilang eKelas 2022 dan memberikan geran tunai kepada 100 pelajar.
Maxis menganjurkan Anugerah Gemilang eKelas 2022 dan memberikan geran tunai kepada 100 pelajar.
A
A
A

SHAH ALAM - Maxis Berhad (Maxis) menerusi program komuniti utamanya, eKelas berada pada momentum yang kukuh dengan lebih daripada 65,000 pelajar berhubung melalui portal dan aplikasi mudah alih itu.

Maxis dalam satu kenyataan berkata, sebagai program yang diiktirafkan di bawah Highly Immersive Programme oleh Kementerian Pendidikan sejak tahun 2019, eKelas telah berada di 1,200 sekolah.

“Sebagai inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah bagi pelajar Tahun 4 hingga Tingkatan 5, Maxis eKelas membawa pembelajaran dengan cara yang menyeronokkan dan menyediakan akses kepada kandungan pendidikan berkualiti selaras dengan sukatan pelajaran Malaysia.

“Menerusi subjek Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris, pelajar didedahkan kepada pembelajaran berasaskan gabungan tutorial secara langsung, pembelajaran berkumpulan, pertandingan dan kandungan digital melalui portal dan aplikasi eKelas,” jelas kenyataan itu pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, Anugerah Gemilang iaitu skim Geran Pelajar yang popular di bawah Maxis eKelas kembali lagi pada tahun ini untuk memberi motivasi dan inspirasi kepada pelajar mencapai matlamat akademik mereka melalui pemberian ganjaran kepada pelajar yang menunjukkan peningkatan gred di sekolah.

“Disasarkan kepada pelajar Tingkatan 1 hingga 5, anugerah ini akan memberikan geran tunai kepada 100 pelajar berdasarkan kriteria penilaian ketat. Untuk layak menerima anugerah ini, pelajar harus mencapai minimum satu peningkatan gred dalam dua atau ketiga-tiga subjek yang diajar dalam eKelas iaitu Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

“Pelajar yang layak boleh menyerahkan keputusan peperiksaan akhir persekolahan pada tahun sebelumnya dan tahun semasa. Ini melayakkan mereka untuk menerima RM600 dan RM1,200 untuk penambahbaikan subjek yang ditetapkan,” jelas kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, wang itu kemudiannya akan dimasukkan ke dalam akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional pelajar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Maxis, Mariam Bevi Batcha berkata, Maxis melihat perkembangan eKelas selama bertahun-tahun dan Anugerah Gemilang penting bagi program tersebut dan ia merupakan insentif hebat untuk pelajar berjaya dalam tiga mata pelajaran.

“Kami telah menerima respons positif dalam penyerahan pada masa lalu dan kami menggalakkan pelajar mendaftar untuk eKelas sekarang serta mengambil langkah pertama, iaitu dengan melengkapkan kuiz penilaian di portal,” tambah Mariam.

Sebagai pra-syarat, pelajar perlu melengkapkan kuiz Pra dan Pasca Penilaian di portal eKelas bermula sekarang hingga 31 Disember untuk layak menerima anugerah tersebut.

Mereka kemudiannya perlu menyerahkan keputusan Pasca Penilaian dan permohonan untuk Anugerah Gemilang bermula 1 Mac hingga 30 April 2023.

Untuk maklumat lanjut, layari https://www.ekelas.com.my/anugerahgemilang2022/