Kanak-kanak 12 tahun lemas ketika mandi sungai

Mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat awal pagi Selasa kira-kira 10 hingga 12 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh di Sungai Rajawali, Dungun.
Mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat awal pagi Selasa kira-kira 10 hingga 12 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh di Sungai Rajawali, Dungun.
A
A
A

DUNGUN - Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun ditemukan lemas selepas dilaporkan hilang ketika mandi sungai bersama rakannya di Sungai Rajawali, Dungun kira-kira jam 6 petang pada Isnin.

Mayat mangsa, Abdul Rafiuddin Abdul Rashid ditemukan di dasar sungai awal pagi Selasa pada kedalaman 2.5 meter iaitu 10 hingga 12 meter dari jarak mangsa dipercayai terjatuh.

Difahamkan, sebelum kejadian mangsa keluar mandi bersama lima rakan sebaya kira-kira jam 4.30 petang sebelum disedari hilang oleh rakannya pada jam 6 petang.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Dungun, Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira jam 6 petang.

"Kita menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan satu kejadian lemas berlaku di Sungai Rajawali yang melibatkan seorang mangsa.

"Hasil maklumat awal mangsa dikatakan keluar mandi bersama lima rakan sebaya sebelum disedari hilang oleh rakannya kira-kira jam 6 petang," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa diberitahu tidak berbaju dan hanya memakai seluar panjang berwarna hitam.

Jelas beliau, pengadu telah membuat laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 22 anggota termasuk Polis, Bomba dan APM melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa," katanya.