Gertakan Putin 'bukan main-main'

Putin yang memberikan kata dua kepada Barat telah meningkatkan lagi risiko konflik nuklear secara drastik.
Putin yang memberikan kata dua kepada Barat telah meningkatkan lagi risiko konflik nuklear secara drastik.
A
A
A

MOSCOW - Tindakan Presiden Rusia, Vladimir Putin yang memberikan kata dua kepada Barat telah meningkatkan lagi risiko konflik nuklear secara drastik.

Ultimatum itu bagaimanapun mengundang kritikan pemimpin dunia yang menyifatkan ia sebagai ancaman 'semborono' dan 'tidak bertanggungjawab' sebagai usaha untuk menutup kelemahan tentera Rusia yang berdepan kerugian sangat besar dalam kempen ketenteraan yang dilancarkan sejak tujuh bulan lalu di Ukraine.

Pengumuman Putin yang mendapat julukan 'Tsar moden' untuk mengerahkan gerakan tentera terbesar sejak Perang Dunia Kedua bagi menyertai operasi ketenteraan di Ukraine telah meningkatkan kebimbangan jika konflik tersebut merebak ke seluruh rantau Eropah.

"Kremlin akan menggunakan segala cara yang ada untuk melindungi integriti wilayah Rusia dan rakyat negara ini. Ini bukan satu gertakan.

"Mana-mana pihak yang cuba memeras ugut kami dengan senjata nuklear perlu ingat bahawa angin juga boleh berubah arah," tegasnya.

Amaran tegas itu secara meluas ditafsirkan bahawa Putin berkemungkinan bersiap sedia menggerakkan senjata nuklear sebagai 'pilihan akhir' susulan kemaraan tentera Ukraine merampas semula kawasan diduduki Moscow.

Tetapi, penganalisis tidak percaya Putin tergamak menjadi negara pertama yang kembali menggunakan senjata nuklear sejak Amerika Syarikat (AS) menggugurkan bom atom ke atas Jepun pada 1945.

Beberapa pakar cuba menggambarkan senario yang dijangka berlaku jika Rusia benar-benar melancarkan serangan nuklear.

Artikel Berkaitan:

Simulasi dibuat Science and Global Security (SGS) menganggarkan lebih 90 juta penduduk dunia boleh terkorban atau cedera dalam tempoh beberapa jam pertama selepas perang nuklear tercetus.
Simulasi dibuat Science and Global Security (SGS) menganggarkan lebih 90 juta penduduk dunia boleh terkorban atau cedera dalam tempoh beberapa jam pertama selepas perang nuklear tercetus.

Moscow mungkin akan menggunakan satu atau lebih bom nuklear 'taktikal' dalam saiz yang kecil dan mempunyai kuasa letupan 0.3 kiloton hingga 100 kiloton berbanding kepala peledak strategik terbesar AS (1.2 megaton) atau 58 megaton bom yang diuji Moscow pada 1961.

Bom taktikal direka memberikan kesan yang lebih terhad di medan perang jika dibandingkan dengan impak penggunaan senjata nuklear strategik yang dibangunkan untuk 'menang' dalam peperangan.

Saiz 'kecil' dan 'terhad' adalah relatif kerana bom atom yang digugurkan di Hiroshima pada 1945 hanya mempunyai kuasa letupan 15 kiloton, namun memberikan impak yang amat dahsyat.

Penganalisis juga berpendapat matlamat Rusia menggunakan bom nuklear taktikal di Ukraine adalah untuk menggertak Kiev supaya ia menyerah kalah atau tunduk kepada desakan supaya berunding selain memecah-belahkan negara Barat yang menjadi penyokongnya.

Pecah-belahkan NATO?

Pakar tentera untuk Program Keselamatan Antarabangsa CSIS di Washington, Mark Cancian yakin Moscow tidak akan menggunakan senjata nuklear di barisan hadapan.

"Sebanyak 20 bom nuklear kecil diperlukan untuk kawasan yang berkeluasan kira-kira 32 kilometer. Ia hanyalah 'kemenangan kecil', namun melibatkan risiko besar jika menggunakan senjata berbahaya tersebut," ujarnya.

Sebagai langkah mengelakkan kematian yang besar, Kremlin mungkin melancarkan bom nuklear di atas permukaan laut atau meletupkannya di altitud tinggi di ruang udara Kiev untuk menghasilkan nadi elektromagnet yang akan melumpuhkan peralatan elektronik.

Di bawah senario yang lebih dahsyat, Putin mungkin akan menyasarkan pangkalan tentera atau pusat bandar seperti Kiev yang pastinya memberi impak lebih besar dengan jumlah kematian pada skala tidak boleh dibayangkan termasuk membunuh kepimpinan politik di Ukraine.

"Rancangan seperti itu direka untuk memporak-perandakan pakatan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan konsensus global terhadap Putin," kata bekas pakar dasar nuklear Rumah Putih, Jon Wolfsthal.

Sehingga kini, Barat masih belum memberikan respons jelas bagaimana ia akan bertindak balas terhadap serangan nuklear taktikal kerana pilihan yang ada didakwa rumit.

AS dan NATO enggan dilihat 'lemah' dengan ancaman tersebut, namun ia seboleh-bolehnya mahu mengelakkan konflik lebih buruk di Ukraine yang dikhuatiri boleh menjadi perang nuklear global lebih meluas dan dahsyat.

Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg menegaskan perikatan terdiri daripada 30 negara anggota itu akan kekal tenang dan tidak mahu 'terpedaya' dengan retorik melulu Putin.

Difahamkan, AS telah menempatkan kira-kira 100 senjata nuklear taktikal milik mereka di negara anggota NATO dan bersedia untuk bertindak balas terhadap ancaman Rusia pada bila-bila masa.

"Moscow mungkin melihat ia sebagai provokasi Barat dan hanya akan meningkatkan lagi risiko perang nuklear lebih besar dan mencetuskan bencana kemanusiaan selanjutnya.

"Beberapa negara NATO yang enggan memburukkan lagi konflik itu mungkin menolak tindak balas nuklear. Ia sekali gus merealisasikan matlamat Putin untuk melemahkan perikatan ketenteraan tersebut yang diketuai AS. Gertakan Putin nampaknya berjaya," jelas Matthew Kroenig di Altantic Council. - Agensi