Patuh syarat lesen, elak sungai tercemar: Loy Sian

Hee Loy Sian
Hee Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Pemaju projek pembangunan perlu mematuhi syarat pelesenan yang ditetapkan sebelum menjalankan sebarang aktiviti bagi mengelak risiko pencemaran sungai di Selangor.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, ketidakpatuhan syarat lesen atau kebenaran oleh pemilik projek akan memberi impak besar terhadap kualiti air sungai.

Malah menurut Loy Sian, keadaan akan menjadi lebih buruk apabila sikap tidak bermoral pihak yang mengambil mudah membuang sisa berjadual ke dalam sistem pembetungan dan melupuskan sampah haram di tebing sungai.

“Justeru, saya menyeru semua pemain industri dan masyarakat untuk lebih prihatin terhadap aktiviti yang dijalankan. Aktiviti tidak bertanggungjawab akan memberi kesan kepada kita sendiri dan jutaan lagi rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 pada 2020 dengan menaikkan denda minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta serta mandatori penjara tidak lebih tiga tahun diharap memberi kesedaran kepada orang ramai.

“Menerusi pindaan ini mana-mana pesalah yang disabitkan perlu membayar segala kos pembaikan dan pemulihan pencemaran yang dilakukan,” katanya lagi.

Loy Sian sebelum ini turut merasmikan sambutan Hari Sungai Sedunia 2022 di bawah inisiatif Friends of River (FoR) daerah Klang di Taman Awam Pengkalan Batu, Klang pada Ahad.

Artikel Berkaitan: