Golongan muda jadi sasaran baharu penjenayah siber

Acryl Sani
Acryl Sani
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan sindiket penipuan dalam talian menyasarkan golongan muda iaitu pelajar dan belia bagi memperdaya mereka dalam urusan pinjaman wang dan juga sindiket akaun keldai pada masa hadapan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, sindiket akan meneruskan modus operandi yang sama tetapi lebih menyasarkan golongan muda.

"Justeru, bagi membendung kes-kes jenayah ini daripada terus berleluasa, PDRM telah bekerjasama dengan institusi perbankan dalam memastikan siasatan, khususnya melibatkan penggunaan keldai akaun dapat dilengkapkan dengan lebih cepat," katanya dalam ucapan perasmian pameran maya Jenayah Kewangan: Semak Sebelum Diperdaya di Facebook Muzium dan Galeri Seni Bank Negara Malaysia pada Isnin.

Acryl Sani berkata, kelicikan penjenayah siber mengeksploitasi perubahan teknologi dan kreatif menjerat mangsa dengan pelbagai modus operandi baharu antara punca peningkatan kes jenayah komersial.

"Selain itu, kesedaran masyarakat mengenai jenayah siber yang masih berada pada tahap yang sederhana turut dikenal pasti antara punca peningkatan kes jenayah tersebut.

"Kita melihat keperluan untuk menyebar luas seberapa banyak ilmu pengetahuan kepada masyarakat, agar mereka dapat mengelakkan diri daripada menjadi mangsa kepada aktiviti jenayah tersebut," katanya

Acryl Sani berkata, kes jenayah komersial menunjukkan trend peningkatan sejak tiga tahun lalu.

"Sebanyak 12,092 kes dengan nilai kerugian RM414.8 juta direkodkan sejak Januari hingga Julai lalu. Pada tahun lalu, mencatatkan sebanyak 20,701 kes dengan nilai kerugian RM560.8 juta.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 13,703 kes direkodkan dengan nilai kerugian RM539 juta pada 2019, manakala sebanyak 17,227 kes direkodkan membabitkan kerugian berjumlah RM511.2 juta pada 2020," katanya.

Arcyl Sani berkata, bagi tempoh dari 2019 hingga Julai lalu, seramai 33,147 suspek kes penipuan siber telah ditangkap dan 22,196 kes jenayah atas talian berjaya dituduh di mahkamah.

"Hasil penelitian, tiada statistik di seluruh dunia yang mencatatkan penurunan dalam kes jenayah siber membabitkan penipuan dalam talian," katanya.

Beliau berkata, jenayah kewangan melibatkan penipuan atas talian yang dikendalikan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggariskan tujuh bentuk jenayah utama iaitu belian online, pinjaman tidak wujud, pelaburan dalam talian, macau scam, African scam, pintasan emel dan penipuan sistem pesanan ringkas (SMS).

"Selain macau scam dan love scam, aktiviti jenayah siber lain yang aktif menjerat mangsa ialah sindiket pinjaman tidak wujud dan ah long menggunakan medium media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Wechat, Instagram dan sebagainya untuk mengiklankan tawaran pinjaman dengan jaminan kelulusan yang pantas serta syarat yang mudah.

"Sindiket akan berurusan dengan mangsa secara dalam talian dan meminta pelbagai dokumen, seterusnyamemperdaya mangsa untuk membuat pelbagai pembayaran seperti yuran proses, guaman, insuran dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, JSJK turut menyediakan beberapa platform bagi memudahkan masyarakat berinteraksi dengan pihak polis untuk sebarang pertanyaan, aduan atau menyalurkan maklumat berkaitan jenayah komersial.

"Antara platform yang telah disediakan ialah CCID Infoline, orang ramai boleh menghantar mesej menggunakan aplikasi WhatApps ke talian 013-2111222 dan menyalurkan apa jua pertanyaan, maklumat atau berkaitan kes-kes jenayah komersial," katanya.