PM pertimbang semua kemungkinan sebelum umum PRU

Reezal Merican (duduk, tengah) bersama kepimpinan UMNO negeri selepas penutupan Kursus PACABA UMNO Perak di Bangunan UMNO Perak di sini pada Ahad.
Reezal Merican (duduk, tengah) bersama kepimpinan UMNO negeri selepas penutupan Kursus PACABA UMNO Perak di Bangunan UMNO Perak di sini pada Ahad.
A
A
A

IPOH - UMNO yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri sudah mengambil kira semua kemungkinan dalam menentukan tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuklah situasi banjir di negara ini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, dari segi kesiapsiagaan untuk menghadapi bencana banjir itu telah pun dilakukan, khususnya membabitkan agensi pengurusan bencana seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Malah katanya, sebelum keputusan untuk membubarkan Parlimen dibuat, sudah tentu ia akan dibawa ke dalam kabinet sebelum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Sebagai menteri yang menjaga bomba saya minta kesiapsiagaan itu berada pada tahap yang tinggi tetapi sebagai ahli parti saya bersiap sedia pada kedua-dua keadaan.

"Oleh kerana saya tak tahu bila nak banjir, saya pun tak tahu bila nak pilihan raya, saya menganggap kedua-duanya perlu pada tahap kesiapsiagaan ini," katanya kepada pemberita selepas penutupan Kursus PACABA UMNO Perak di Bangunan UMNO Perak di sini pada Ahad.

Menurutnya, menjadi kelaziman sebelum ini pilihan raya umum diadakan sebelum tempoh penggal berakhir.

Sementara itu, Reezal Merican berkata, UMNO tidak melihat hasrat DAP untuk meletakkan lebih ramai calon Melayu pada PRU15 sebagai ancaman.

Menurutnya, semua parti tidak boleh lagi berselindung di sebalik kelemahan kerana masing-masing pernah menjadi kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Saya menganggap orang Melayu tak mudah terpedaya. Orang tak lihat kepada wajah mereka, tetapi lihat parti yang diwakili. Orang lihat kepada aspirasi perjuangan, orang melihat ideologi.

"Hari ini tidak ada satu parti pun yang boleh berlindung di sebalik kelemahan sebab semua dah jadi pemerintah. Maka rakyat sudah boleh menilai," katanya.

Katanya, sudah pasti kerajaan pimpinan Ismail Sabri daripada BN paling terkehadapan dalam menyelesaikan permasalahan rakyat terutama ketika berdepan Covid-19.

Katanya, BN mempunyai pengalaman luas dalam mentadbir kerajaan dan rakyat pasti akan membuat pilihan terbaik.