Pakej rangsangan, buka sektor ekonomi kurangkan impak Covid-19

Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Keluarga Malaysia di New York pada Ahad. - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Keluarga Malaysia di New York pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A
NEW YORK - [DIKEMAS KINI] Pelbagai langkah yang diambil oleh kerajaan dalam melaksanakan pakej rangsangan dan pembukaan semula sektor ekonomi secara beransur-ansur telah mengurangkan impak besar daripada krisis pandemik Covid -19 dan menyokong pemulihan semula pertumbuhan ekonomi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ekonomi negara terus mengukuh apabila Keluaran Dalam Kasar Negara (KDNK) bagi suku kedua 2022 mencatat pertumbuhan sebanyak 8.9 peratus, lebih tinggi berbanding 5.0 peratus yang dicatat pada suku pertama 2022.

Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku kedua adalah tertinggi di ASEAN dan lebih tinggi berbanding beberapa negara maju dan serantau, dan dijangka mampu mencapai sasaran antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus dengan mengambil kira pencapaian separuh pertama 2022 sebanyak 6.9 peratus.

"Ada pelbagai petunjuk peningkatan ekonomi, antaranya jumlah jualan kenderaan. Misalnya, tempahan kereta Perodua Alza adalah sebanyak 30,000 apabila dilancarkan manakala tempoh menunggu kereta Proton X50 adalah enam bulan," katanya pada majlis makan malam bersama Keluarga Malaysia pada Sabtu yang dihadiri lebih 300 rakyat Malaysia di sini.

Bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat yang terkesan dengan kenaikan harga barangan, Ismail Sabri berkata, kerajaan memperuntukkan lebih RM80 bilion sebagai subsidi.

Perdana Menteri yang berada di bandar raya ini bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 berkata, sewaktu mengambil alih tampuk pemerintahan negara tahun lepas, keutamaan beliau adalah kestabilan politik dan perpaduan antara kaum.

"Ini direalisasikan melalui memorandum persefahaman dengan parti-parti pembangkang....kestabilan politik penting untuk menarik pelaburan asing. Bagi meningkatkan perpaduan dalam kalangan pelbagai kaum di Malaysia, saya perkenalkan Konsep Keluarga Malaysia," katanya.

Beliau juga menyifatkan rakyat Malaysia di luar negara, termasuk di Amerika Syarikat sebagai ‘Duta Kecil’ negara yang turut mempunyai peranan penting untuk terus melakar imej positif Malaysia di seberang laut.

"Sumbangan anda memaparkan imej baik negara sangat penting akan turut membantu memanfaatkan keluarga dan masyarakat di Malaysia, " katanya.
Artikel Berkaitan:


Perdana Menteri berkata beliau yakin, semangat patriotik Keluarga Malaysia di New York ini tetap tinggi walaupun berada jauh di perantauan.- Bernama