Sertai tinju sebab gemar bertumbuk

Jackson menunjukkan pingat emas dimenanginya dalam acara tinju 54-57kg lelaki Sukma MSN 2022 di Kompleks Futsal Presint 18 pada Sabtu. - Foto Bernama
Jackson menunjukkan pingat emas dimenanginya dalam acara tinju 54-57kg lelaki Sukma MSN 2022 di Kompleks Futsal Presint 18 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET Sarawak, Jackson Chambai Ikeh memutuskan untuk menyertai sukan tinju seawal usia 12 tahun selepas menyedari kecenderungannya bergaduh dan bertumbuk di sekolah tidak mendatangkan sebarang manfaat.

Hari ini pemuda berusia 21 tahun itu merangkul emas Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 menerusi acara fly 48-51 kilogram (kg) di Kompleks Futsal Malaysia di sini.

“Masa sekolah selalu gaduh, lagi-lagi masa itu berdarah panas asyik nak bertumbuk je. Bertumbuk di luar tak berguna, lebih baik saya main tinju.

“Jadi 2013 saya mula main tinju dengan jurulatih pertama saya Joseph Harry,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan pada Sabtu.

Dalam pada itu, mengulas perlawanannya itu, Jackson yang menjadikan petinju Kazakhstan, Genandy Golovkin sebagai idolanya berkata, beliau hanya fokus kepada strategi untuk membuat serangan balas terhadap pihak lawan.

Jackson (dua dari kanan) dan Mohammad Hakimi Sumadi (kiri) ketika beraksi dalam acara tinju 54-57kg lelaki Sukma MSN 2022 di Kompleks Futsal Presint 18 pada Sabtu. - Foto Bernama
Jackson (dua dari kanan) dan Mohammad Hakimi Sumadi (kiri) ketika beraksi dalam acara tinju 54-57kg lelaki Sukma MSN 2022 di Kompleks Futsal Presint 18 pada Sabtu. - Foto Bernama

“Saya sangat puas hati pada pusingan pertama tapi pusingan kedua saya tak puas hati sebab pihak lawan suka peluk saya, jadi saya tak dapat nak buat serangan,” katanya.

Jackson mempamerkan gerakan pantas untuk menundukkan pencabarnya dari Wilayah Persekutuan, Mohamad Hakimi Sumadi 5-0.

Artikel Berkaitan:

Tempat ketiga menjadi milik Muhammad Aidil Ashraf Abdul Razak dari Johor dan Muhammad Mukhriz Khan Muzafar Khan yang mewakili Pulau Pinang.

Sementara itu, Sarawak turut muncul juara acara Feather 54-57kg menerusi jaguhnya, Daeloniel Mcdelon Bong.

Daeloniel yang dikenali sebagai Kilat Boy, menang mudah ke atas petinju Wilayah Persekutuan Alif Akmal Muhamad Asri 5-0, sementara gangsa menjadi milik Sheikh Rahmatullah Ibrahim daripada Pulau Pinang dan atlet Sabah, Mohammad Fairul Yee Abdullah. - Bernama