Cheng Hoe ketua jurulatih baharu Selangor FC

Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah (kiri) bergambar bersama Cheng Hoe.
Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah (kiri) bergambar bersama Cheng Hoe.
A
A
A

KELAB Bola Sepak Selangor (Selangor FC) hari ini mengumumkan Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih baharu pasukan utama Gergasi Merah bagi memberi ruang kepada beliau membuat persediaan awal serta perancangan untuk musim hadapan.

Ketua Jurulatih berusia 54 tahun itu sebelum ini pernah mengendali skuad Kebangsaan pada tahun 2018 sehingga 2021.

Di bawah bimbingannya, pasukan Harimau Malaya berjaya menjadi naib juara kejohanan AFF 2018 selain mempamerkan persembahan terbaik skuad negara dalam kempen pusingan kelayakan Piala Dunia 2022.

Selain itu, sepanjang karier kejurulatihannya, beliau pernah mengecapi beberapa kejayaan dalam arena bola sepak tempatan termasuk menjuarai Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017 ketika mengemudi pasukan Kedah.

Beliau juga merupakan penerima Anugerah Jurulatih Terbaik Bolasepak Malaysia (FAM) 2016.

Berdasarkan pencapaian dan pengalaman beliau, Selangor FC percaya pengendali kelahiran Alor Setar, Kedah itu merupakan calon terbaik untuk membawa skuad Gergasi Merah ke peringkat lebih tinggi pada musim hadapan.

“Bagi saya, Selangor FC merupakan satu kelab yang berpotensi besar dengan adanya pihak pengurusan yang bagus serta pemain yang berkualiti. Saya berbesar hati untuk menabur bakti kepada pasukan ini.

“Kalau diberikan peluang, saya yakin ramai jurulatih mahu mengendali pasukan seperti Selangor FC. Ini motivasi terbaik untuk saya melaksanakan tugas sebagai jurulatih baharu pasukan,” kata Cheng Hoe dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Selangor FC.

Artikel Berkaitan:

Tambah Cheng Hoe, beliau turut mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang untuk bersama pasukan lebih awal bagi membantunya membuat perancangan lebih rapi untuk musim hadapan

“Saya yakin boleh membawa pasukan ke satu tahap lebih baik dengan kerjasama daripada semua pihak terutamanya para pemain, pihak pengurusan serta barisan jurulatih. Sama-sama berusaha keras untuk memastikan Selangor FC berada di landasan yang terbaik.

“Dalam jangka masa yang terdekat ini, saya berharap pemain dapat faham dengan corak permainan yang akan saya terapkan. Selain itu, saya juga perlu memahami

setiap pemain dalam pasukan kerana setiap individu adalah berlainan, mereka mempunyai karakter dan cara bermain tersendiri, penting untuk saya tahu semua itu.

“Saya rasa kualiti yang mereka ada mampu membantu saya mewujudkan semangat juang tinggi dalam pasukan,”ujarnya.

Selain pelantikan ketua jurulatih skuad utama, Selangor FC turut mengumumkan pelantikan penasihat teknikal pasukan yang bakal digalas bekas pemain dan juga seorang legenda Gergasi Merah, K Sanbagamaran.

Selain menjadi ketua pasukan Selangor, Sanbagamaran juga mempunyai lebih 300 penampilan serta memenangi sembilan kejuaraan bersama pasukan ini.

Dalam kenyataan tersebut Selangor FC juga akan membuat beberapa pengumuman rasmi berkenaan pelantikan pengarah sukan dan pengarah teknikal dalam masa terdekat.

”Selangor FC ingin mengucapkan terima kasih kepada Nidzam Jamil yang telah mengemudi pasukan sebagai ketua jurulatih interim sepanjang tempoh kekosongan

ini, dan beliau kini akan kembali memegang jawatan sebagai penolong jurulatih kepada Cheng Hoe.

“Selamat maju jaya kami ucapkan kepada Cheng Hoe di atas pelantikan ini. Semoga dapat membawa pasukan Merah Kuning ke peringkat yang lebih tinggi untuk

masa hadapan,” kata kenyataan itu.