Percutian dalam negara masih dapat permintaan tinggi

Percutian dalam negara masih menerima permintaan tinggi, disebalik trend orang ramai dikatakan memilih Thailand sebagai destinasi pelancongan. - Gambar hiasan
Percutian dalam negara masih menerima permintaan tinggi, disebalik trend orang ramai dikatakan memilih Thailand sebagai destinasi pelancongan. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Percutian dalam negara masih menerima permintaan tinggi, disebalik trend orang ramai dikatakan memilih Thailand sebagai destinasi pelancongan.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Iskandar Mirza Mohd Yusof berkata, menerusi Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia yang telah dilaksanakan di beberapa lokasi, pihaknya mendapat maklum balas positif daripada pempamer terlibat.

Selepas kerajaan memberi kelonggaran, kita dapati permintaan terhadap pelancongan domestik semakin tinggi, khasnya semasa cuti sekolah dan cuti-cuti am.

"Hari ini kita bawa pempamer yang menawarkan pakej-pakej yang menarik dan harga yang berpatutan, kita dapati setiap kali promosi sambutan yang diterima memang sangat baik, kerana pakej yang ditawarkan menarik dan murah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jerayawara Jom Cuti-Cuti Malaysia di sebuah pusat beli-belah, di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Iskandar berkata, menerusi penganjuran jerayawara itu, Tourism Malaysia berharap dapat meningkatkan semula permintaan terhadap sektor pelancongan domestik negara, selain menjana ekonomi menerusi pelancongan.

Jerayawara selama tiga hari itu bermula semalam hingga esok, bertujuan meningkatkan aktiviti pemasaran dan promosi pelancongan domestik selari dengan peralihan negara ke fasa endemik.

Seramai 24 penggiat industri mengambil bahagian dalam program jerayawara berkenaan, bagi menawarkan pakej percutian, tambang dan tiket masuk pada harga menarik melibatkan pengusaha produk, agensi pelancongan, hotel, taman tema dan syarikat pengangkutan. - Bernama

Artikel Berkaitan: