'Apa berlaku kepada mak kejam'

Kelihatan ahli keluarga mangsa di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafa, Seremban.
Kelihatan ahli keluarga mangsa di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafa, Seremban.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] "Semua orang akan mati, tapi bagi saya apa yang berlaku kepada mak saya itu kejam".

Demikian luah Asri Mazlan, 49, iaitu anak kepada Datin Noraida Nordin, 75, yang ditemukan meninggal dunia dengan kesan kecederaan pada badan di rumahnya di Taman Paroi Jaya di sini pada Jumaat.

Asri mengetahui kejadian itu selepas bapa menghubunginya kira-kira jam 6 petang memberitahu tidak mengetahui keadaan emak.

"Ayah saya tak nampak kerana dia ada penyakit glaukoma. Jadi dia minta tolong jiran untuk hubungi saya.

"Saya terus bergegas ke rumah ayah dan sebaik sampai didapati mak dalam keadaan tidak sedarkan diri terbaring di atas sofa sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang datang membuat pemeriksaan," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar di sini pada Sabtu.

Asri berkata, bapanya berusia 82 tahun memaklumkan, sebelum kejadian itu dia mendakwa ada seorang sepupu lelakinya datang ke rumah untuk meminjam wang.

Tambahnya, ia merupakan kali ketiga lelaki terbabit datang atas tujuan sama.

"Kali pertama ayah ada bagi duit dan kami anak-anak pun dah menasihatkan ayah supaya jangan lagi beri pinjam wang.

"Saya ada cuba hubungi sepupu saya itu untuk tanya hal yang berlaku, tapi dia tak jawab," ujar Asri.

Jelas Asri, dia menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menjalankan siasatan dan meminta orang ramai tidak membuat spekulasi yang memburukkan lagi keadaan.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chembong, Rembau.
Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chembong, Rembau.

Difahamkan, jenazah Noraida akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chembong, Rembau

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis menerima maklumat berhubung kematian wanita berusia lingkungan 70-an itu pada jam 8.25 malam.

Menurutnya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam pada itu, Nanda berkata, polis meminta individu bernama Mohd Faizul Mohamad Ali Kamil, 45, dengan alamat terakhir di Kampung Berkat Chembong, Rembau untuk tampil bagi membantu siasatan.