Datin ditemui maut dalam rumah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Seorang wanita warga emas bergelar Datin ditemukan maut dengan kesan kecederaan pada badan di rumahnya di Taman Paroi Jaya pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, polis menerima maklumat berhubung kematian wanita berusia lingkungan 70-an itu pada jam 8.25 malam.

"Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan kecederaan di anggota badan mangsa dan beberapa barang peribadinya turut hilang.

"Mayat mangsa telah di hantar ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban bagi proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, motif sebenar kejadian masih dalam siasatan dan masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam pada itu, Nanda berkata, polis meminta individu bernama Mohd Faizul Mohamad Ali Kamil, 45, dengan alamat terakhir di Kampung Berkat Chembong, Rembau untuk tampil bagi membantu siasatan.

Ujarnya, maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Fauzan Azima Razak di talian 06-6033222.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu tinjauan Sinar Harian mendapati banyak kenderaan memenuhi rumah mangsa.

Turut kelihatan hadir, Pendakwah, Ustazah Asma Harun dan isteri kepada bekas Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad iaitu Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Sinar Harian cuba mendapatkan maklumat lanjut daripada seorang lelaki dipercayai cucu mangsa, namun beliau enggan mengulas lanjut.