Pingat emas bola jaring, hadiah istimewa buat Norizan

Pemain Wilayah Persekutuan meraih pingat emas dalam acara bola jaring menentang Pahang pada Sukan Malaysia (SUKMA) Majlis Sukan Negara (MSN) 2022, pada Sabtu. - Foto Bernama
Pemain Wilayah Persekutuan meraih pingat emas dalam acara bola jaring menentang Pahang pada Sukan Malaysia (SUKMA) Majlis Sukan Negara (MSN) 2022, pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KEJAYAAN skuad bola jaring Wilayah Persekutuan (WiPers) muncul juara pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 menewaskan Pahang pada pentas final pada Sabtu, dianggap hadiah paling bermakna buat jurulatihnya, Norizan Rajab.

Lebih manis, ia merupakan emas Sukma kali kelima buat Norizan sepanjang bergelar jurulatih sebelum beliau memaklumkan mahu berhenti mengendalikan skuad kesayangannya itu untuk mengubah haluan sebagai penasihat pasukan tersebut.

Untuk rekod, skuad bola jaring WiPers sehingga kini pernah meraih emas Sukma pada 2000, 2004 dan 2006, sebelum Norizan meneruskan dominasi sebagai juara pada 2010, 2011, 2013, 2018 dan edisi kali ini di Kuala Lumpur.

Mungkin sudah sampai masa untuk saya berehat.

"Lepas ini saya akan jadi penasihat kepada jurulatih baharu," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Mengulas mengenai kejayaan diraih anak buahnya pada Sabtu selepas menewaskan Pahang 63-51, beliau berkata, ia merupakan perlawanan cukup seimbang dengan pembabitan atlet muda mewakili kedua-dua pasukan.

"Saya rasa kita akan mempunyai lebih banyak bakat baharu bagi mewakli skuad kebangsaan. Jadi Sukma ini satu pentas yang terbaik,'' katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai penglibatan beberapa atlet kebangsaan di dalam skuadnya yang menjadi faktor utama kemenangan WiPers, Noriza sebaliknya menafikan perkara itu.

Artikel Berkaitan:

"Bagi saya ia bukan faktor utama kerana apa yang penting setiap negeri telah melakukan program pembangunan mereka sendiri untuk jangka masa panjang dan inilah hasilnya. Saya harap semua negeri boleh mencungkil lebih banyak bakat baharu selepas ini," katanya.

Keputusan perlawanan final acara itu sekali gus menyaksikan Pahang meraih perak sementara gangsa milik Selangor selepas menewaskan Johor 47-45. - Bernama