TEKUN kutip hutang lapuk RM500 juta

Mohd Hatta (tengah) menyentuh mengenai hutang lapuk TEKUN Nasional pada sidang media selepasa perasmian surau SM Sains Dungun hari ini.
Mohd Hatta (tengah) menyentuh mengenai hutang lapuk TEKUN Nasional pada sidang media selepasa perasmian surau SM Sains Dungun hari ini.
A
A
A

DUNGUN - Kementerian Pembangunan Usahawan sekarang sedang mengutip hutang lapuk dianggarkan berjumlah RM500 juta dari peminjam Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) seluruh negara.

Timbalan menterinya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, hutang lapuk yang berjaya dikutip semula itu menjadi modal kepada TEKUN Nasional untuk terus menyalurkan pembiayaan kepada usahawan-usahawan lain.

Katanya, prestasi bayaran balik hutang yang dibuat peminjam setakat ini semakin bertambah baik.

"Masa kita ambil alih kerajaan tahun lepas, kita dimaklumkan pembiayaan tidak berbayar (NPF) TEKUN Nasional cecah 45 peratus. Kalau itu berlaku di bank, bank dah lama lingkup.

"Mujur ia dana kerajaan, jadi kutipan balik kita teruskan. Walaupun bayaran balik yang dibuat peminjam itu tidak seperti kita harapkan tetapi mereka masih bayar," katanya selepas merasmikan Surau Baitun Najihin Sekolah Menengah (SM) Sains Dungun, di sini, hari ini.

Kata Mohd Hatta, sebagai langkah mengutip hutang lapuk itu secara lebih berkesan, kementeriannya memperkenalkan pendekatan baharu agar wujud rasa tanggungjawab dalam diri setiap peminjam untuk melangsaikan hutang.

"Contohnya kita perkenalkan Skim Pembiayaan Program TemanNita yang menggunakan konsep berkumpulan, iaitu lima orang sekumpulan yang mewajibkan setiap usahawan dalam kumpulan membuat pembayaran balik secara konsisten.

"Kalau seorang usahawan tak dapat bayar balik, empat lagi perlu bantu buat pembayaran berkenaan dan ini jadi inisiatif TEKUN untuk elak pinjaman tidak berbayar (NPL) dan ia beri suntikan kepada usahawan untuk bayar balik pinjaman mereka," katanya.

Artikel Berkaitan: